KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Keluarga kepada N. Kalaiselvi, rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam tragedi banjir di Nepal, berharap pihak berkaitan terus memberikan perkembangan mengenai usaha mencari dan menyelamat (SAR) susulan kepulangan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke tanah air dalam masa terdekat.
Anak perempuannya, Kritikaa Joyce De Brito berkata keluarga amat menghargai usaha kerajaan dan memahami kekangan dihadapi penyelamat di lapangan, namun berharap agar gambaran jelas mengenai kawasan yang telah ditinjau pasukan itu dikongsikan demi meredakan kebimbangan mereka.
Beliau berkata ibunya yang berusia 65 tahun itu adalah antara 27 rakyat Malaysia yang ke Gunung Kailash di Tibet, China bagi melaksanakan upacara keagamaan, sebelum dilaporkan terputus hubungan akibat bencana alam tersebut di daerah Rasuwa.
“Saya faham bahawa penugasan ini melibatkan kelulusan pihak Nepal, faktor logistik, cuaca dan bentuk muka bumi.
“Namun, sebagai waris, kami memohon agar pihak berkaitan dapat berkongsi gambaran jelas mengenai kawasan sisa runtuhan atau hutan yang telah ditinjau secara sistematik sebelum pasukan SMART ditarik balik,” katanya kepada Bernama.
Kritikaa berkata penjelasan terperinci mengenai hasil aktiviti lapangan tersebut adalah sangat penting buat ahli keluarga bagi memastikan segala usaha munasabah telah dilakukan dalam mengharungi detik yang amat sukar itu.
Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa pasukan SMART dijangka kembali ke Malaysia pada Sabtu atau Ahad, susulan operasi SAR kini berada di penghujung dan tidak banyak lagi yang dapat dilakukan oleh pasukan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Nepal masih belum berhasrat menamatkan operasi SAR secara rasmi berikutan terdapat kira-kira 5,000 individu masih dalam kategori tidak dapat dikesan akibat bencana itu.
-- BERNAMA
TAG: Nepal, banjir, waris, penjelasan, SMART







