RS-2: SABDA digerak lebih pantas, teruskan kejayaan RS-1

13 Ogos 2026, 7:35 AM
RS-2: SABDA digerak lebih pantas, teruskan kejayaan RS-1

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kemajuan Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) diteruskan dalam kerangka Rancangan Selangor Kedua (RS-2) memandangkan inisiatif berkenaan menyumbang kepada potensi ekonomi tempatan sekali gus meningkatan pendapatan setempat.

EXCO Kemajuan Desa merangkap Pengerusi SABDA, Dato’ Rizam Ismail berkata antara rancangan jangka panjang terkandung dalam tempoh lima tahun ini adalah projek pertanian sulur nanas MD2, pengeluaran benih betik Selangor menjelang 2027 serta benih kelapa hibrid mulai 2029 hingga 2031.

Bagi mengelakkan pembaziran guna tanah sehingga objektif tercapai, beliau menjelaskan beberapa projek tanaman kontan dilaksanakan untuk terus menjana ekonomi usahawan dan petani seperti tanaman nanas Yankee, jambu, pisang, bendi, terung dan peria.

“Sehingga 31 Julai 2026, hasil tuaian yang direkodkan ialah 24.6 tan metrik jambu emas, 9.20 tan metrik bendi, 5.5 tan metrik pisang berangan, 4.7 tan metrik pisang tanduk, 5.4 tan metrik peria, 16.1 tan metrik nanas Yankee dan 4 tan metrik terung.

“Nanas Yankee dan terung juga dalam proses tanaman semula. Sebagai tambahan, tanaman baharu turut mula dituai bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, iaitu 3.5 tan metrik nanas MD2, 66.0 tan metrik labu, 3.5 tan metrik kundur serta 3.07 tan metrik betik B9.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 65,500 sulur nanas MD2, nanas Yankee (21,200 sulur) dan jambu emas (25,000 sulur) telah dituai. Projek pertanian pintar ini mewujudkan kawasan bekalan makanan berasaskan pertanian hasil berkualiti, mempunyai produktiviti tinggi dan memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Rizam berkata demikian ketika menggulung usul RS-2 di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ketika membentang RS-2 pada Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan RS-2 memperluas prinsip 'no one left behind' menerusi pembangunan seimbang merentasi daerah yang dilaksanakan menerusi 10 inisiatif termasuk SABDA digerakkan lebih pantas.

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari SABDA yang bertujuan mengintegrasikan sektor pertanian serta eko-pelancongan di pantai barat Selangor juga akan disokong dengan beberapa antaranya Selangor Biosphere Reseve, pusat pendaratan makanan laut di Sekinchan selainm Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Air Manis.

SABDA yang melibatkan pembangunan tanah seluas 1,317 hektar merangkumi enam projek utama beroperasi sejak tahun lalu dijangka menjana sekitar RM1.9 bilion pelaburan sekali gus mencipta 3,600 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,

Ia melibatkan lima kluster iaitu menambah komoditi bernilai tinggi, khidmat sokongan, membangun industri hiliran dan asas tani, meningkatkan sektor pelancongan serta merancakkan pembangunan infrastruktur.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.