SHAH ALAM, 13 SEPT: Seramai 28 pegawai berpangkat Komisioner Polis (CP) dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) layak dipertimbang untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses pemilihan akan dimulakan di peringkat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sebelum dipersembahkan untuk mendapatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, lapor Berita Harian.
Beliau berkata proses itu dijangka selesai dalam masa terdekat, dengan pengumuman pelantikan dibuat selepas semua prosedur berkaitan dimuktamadkan.
"Kita akan umumkan dalam masa terdekat selepas prosesnya bermula dengan SPP yang saya pengerusikan bersama jawatankuasa lain sebelum dibawa bagi mendapatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong.
"Kita sudah menamakan calon mengikut kekosongan susulan persaraan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay. Sehari dua ini kita akan umumkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Lawatan Pemantauan Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Kampung Badlishah-Ayer Putih, Junjong, Kulim, Kedah hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kesemua 28 pegawai berkenaan berada dalam kelompok yang layak dipertimbang untuk mengisi jawatan itu susulan persaraan Ayob Khan.
Katanya, nama semua pegawai terbabit turut dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk penilaian lanjut berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
"Semua layak. Dalam polis ada 25 orang CP dan ditambah tiga lagi CP yang dilantik atas kapasiti khas Ketua Polis Negara. Jadi 28, semua yang berada dalam kelompok itulah yang nama kita persembah kepada Tuanku.
"Proses ini adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki kita berbuat demikian dan itu sudah kita selesaikan," katanya.







