Pengisian jawatan AKPS dilaksana secara berfasa dalam lima tahun

22 Okt 2026, 5:30 AM
Pengisian jawatan AKPS dilaksana secara berfasa dalam lima tahun

SHAH ALAM, 22 OKT: Pengisian perjawatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sehingga 23 September lalu, jumlah keseluruhan perjawatan AKPS adalah seramai 8,403 dan ia belum cukup untuk pengoperasian secara optimum bagi mengawal 123 pintu masuk negara, lapor Harian Metro.

"AKPS masih melalui fasa pengukuhan organisasi susulan pelaksanaan pengambilalihan fungsi kawalan, pemeriksaan, pelepasan dan penguatkuasaan di pintu-pintu masuk negara secara berfasa daripada agensi-agensi teras.

"Bagi menangani isu kekurangan anggota pula, Kementerian Dalam Negeri melalui AKPS sudah dan sedang melaksanakan beberapa langkah seperti mewujudkan dan mengisi perjawatan AKPS secara berfasa berdasarkan keutamaan operasi.

"Tumpuan diberikan kepada pintu masuk berisiko tinggi serta lokasi yang mempunyai jumlah trafik pengembara dan kargo yang tinggi," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang ingin mengetahui tindakan diambil kementerian bagi meyelesaikan isu kekurangan anggota AKPS yang ditugaskan untuk mengawal pintu masuk negara dan jangka masa masalah itu dapat diselesaikan.

Saifuddin berkata kementerian juga melaksanakan rasionalisasi dan pengoptimuman penugasan anggota berdasarkan analisis risiko dan keperluan operasi sebenar supaya sumber manusia dapat digunakan dengan cekap tanpa menjejaskan tahap keselamatan sempadan.

"Selain itu, meneruskan kerjasama dan sokongan antara AKPS dengan agensi-agensi teras dalam tempoh peralihan, termasuk penyelarasan operasi, perkongsian sumber dan sokongan penguatkuasaan mengikut keperluan.

"Kementerian juga memanfaatkan penggunaan teknologi termasuk sistem pemeriksaan dan pengimbasan automatik, 'auto-gate', kamera litar tertutup pintar, analitik data dan pemprofilan risiko bagi mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada tenaga manusia," katanya.

Dalam pada itu, kementerian juga melaksanakan latihan silang dan peningkatan kemahiran supaya pegawai AKPS mempunyai fleksibiliti untuk melaksanakan fungsi asas yang berkaitan di pintu masuk negara.

"Di samping itu memperkukuh pembangunan sumber manusia melalui Skim Perkhidmatan di bawah AKPS yang sudah berkuat kuasa, laluan kerjaya yang lebih jelas, pertukaran pelantikan pegawai sedia ada serta pengambilan baharu secara kontrak termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Justeru, menerusi langkah itu, jurang kekuatan dapat dikurangkan secara berperingkat selaras dengan pelan pembangunan sumber manusia AKPS," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.