Amirudin kekal Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Saifuddin jalankan tugas Timbalan Presiden

6 Ogos 2026, 1:14 PM
Amirudin kekal Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Saifuddin jalankan tugas Timbalan Presiden
Amirudin kekal Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Saifuddin jalankan tugas Timbalan Presiden
Amirudin kekal Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Saifuddin jalankan tugas Timbalan Presiden
Amirudin kekal Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Saifuddin jalankan tugas Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersetuju memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah Anwar daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti, bermula selepas Kongres Nasional PKR 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Ketua Penerangan KEADILAN Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MPP hari ini, selepas membincangkan permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata mesyuarat sama turut bersetuju supaya Naib Presiden KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjalankan tugas Timbalan Presiden secara sementara.

“Setelah mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada beliau sehingga satu tarikh yang akan diumumkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata Nurul Izzah akan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR pada 14 Ogos ini bersempena dengan Kongres Nasional PKR 2026, yang akan berlangsung di Melaka pada 15 dan 16 Ogos.

Beliau berkata MPP turut bersetuju supaya jawatan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN digalas sepenuhnya oleh Naib Presiden parti Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, Fahmi berkata MPP menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

“Parti menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus-lumus sewaktu dua PRN itu, serta merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun atas perkhidmatan cemerlang sepanjang dua penggal lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan MPP KEADILAN turut meluluskan 3,533 anggota baharu bagi tempoh 12 Julai hingga Ogos 2026, yang telah mendaftar secara dalam talian.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.