130,307 penagih dadah direkod setakat Jun, golongan muda paling ramai terlibat

5 Okt 2026, 6:09 AM
130,307 penagih dadah direkod setakat Jun, golongan muda paling ramai terlibat
130,307 penagih dadah direkod setakat Jun, golongan muda paling ramai terlibat
130,307 penagih dadah direkod setakat Jun, golongan muda paling ramai terlibat

BENTONG, 5 OKT: Seramai 130,307 penagih dadah direkodkan di negara ini setakat Jun lalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatatkan trend penggunaan dan penyalahgunaan dadah yang membimbangkan kerana melebihi nisbah nasional, iaitu 381 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

“Dalam 100,000 populasi, Terengganu mencatatkan 735 orang, Kelantan (694 orang), Kedah (669 orang) dan Perlis (646 orang), semuanya mengatasi nisbah nasional,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Projek Siap bagi membina, meroboh serta menaik taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak di sini hari ini.

Berdasarkan profil penagih, beliau berkata golongan 15 hingga 39 tahun menjadi kumpulan paling ramai terlibat manakala dari segi tahap pendidikan majoritinya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah.

“Kalau kita kait dengan pekerjaan, angka paling tinggi adalah tidak bekerja diikuti bekerja sendiri dan ketiga bekerja swasta,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata dadah jenis amphetamine-type stimulant (ATS) atau dadah sintetik menjadi paling banyak digunakan penagih, meliputi 84 peratus berbanding dadah lain.

“Data ini bukan sekadar angka, ia menghantar isyarat tersendiri. Sebab itu saya anjurkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) supaya program yang dirancang dan polisi yang dibuat harus berasaskan data,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbuka untuk mempergiat program kempen, kerjasama dan kolaborasi termasuk dengan kerajaan negeri dalam usaha menangani masalah itu.

“Usaha menangani masalah dadah memerlukan kemahuan politik yang kuat dan kerjasama daripada semua pihak kerana isu tersebut bukan sekadar masalah individu, sebaliknya sudah menjadi masalah negara,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.