SHAH ALAM, 6 OKT: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan diberi akses kepada bilik kawalan yang memantau lebih 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu dipersetujui Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi membolehkan AKPS memperkukuh pemantauan keselamatan di pintu masuk negara, lapor Berita Harian.
Katanya, bilik kawalan itu kini diuruskan MAHB bagi tujuan pemantauan penumpang, namun pemantauan dari aspek keselamatan belum dilaksanakan secara khusus oleh AKPS.
“Justeru sekarang, kerana AKPS agensi baharu bertanggungjawab mengenai kawalan sempadan, perbincangan sudah saya mulakan dengan MAHB supaya akses terhadap bilik kawalan, sumber maklumat daripada lebih 5,000 CCTV itu bukan saja MAHB yang mengawalnya tetapi juga AKPS turut diberikan autoriti.
“Jadi, AKPS akan melihat dari sudut pandang keselamatan. Ini sudah pun dipersetujui, cuma sekarang di peringkat pentadbiran untuk membolehkan ia beroperasi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai sejauh mana Pusat Kawalan Imigresen Nasional (NICC) boleh menyediakan maklumat keselamatan dan risikan bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil lebih awal.
Saifuddin berkata AKPS turut akan menambah kemudahan CCTV di KLIA, terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai titik buta.
“Jadi, NICC terhad kepada proses melepasi kawalan pemeriksaan masuk dan keluar tetapi yang lebih lengkap sebenarnya adalah di bawah MAHB,” katanya.







