SHAH ALAM, 22 JULAI: Isu hakisan tebing Sungai Rawang yang sekian lama membimbangkan penduduk Kampung Dato' Lee Kim Sai kini berjaya diatasi selepas kerja pembaikan dan pengukuhan tebing sungai siap sepenuhnya.
Wakil rakyat Rawang berkata projek yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Gombak itu membabitkan kerja pengukuhan dan penstabilan tebing sungai menggunakan steel sheet pile serta capping beam bagi meningkatkan keselamatan kawasan.
Menurut Chua Wei Kiat, projek berkenaan dibiayai menerusi peruntukan RM1 juta daripada ibu pejabat JPS.
“Kerja darurat pembaikan dan pengukuhan tebing Sungai Rawang di Jalan LKS 9 kini telah siap sepenuhnya.
“Projek ini melibatkan kerja pengukuhan dan penstabilan tebing sungai bagi mengatasi hakisan dan meningkatkan keselamatan kawasan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPS atas tindakan segera menyelesaikan isu yang telah lama dihadapi penduduk.
“Terima kasih kepada JPS atas tindakan segera menyiapkan projek ini. Semoga ia memberi ketenangan dan menjamin keselamatan seluruh komuniti di Kampung Dato' Lee Kim Sai,” katanya.







