SHAH ALAM, 13 SEPT: Sebanyak 1577.6 kilogram bahan kitar semula berjaya dikumpulkan menerusi Program ‘Trash to Cash’ anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di SMK Taman Keramat dan Dewan JKKP Kampung Pandan Dalam, semalam.
Program menerusi Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ itu dilaksanakan bertujuan untuk memperkasakan amalan kitar semula serta mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.
"Di SMK Taman Keramat, sebanyak 321.2 kilogram bahan kitar semula dikumpulkan melibatkan 60.65 kilogram kertas, 57.35 kilogram kotak, 7.85 kilogram plastik, 26.85 kilogram besi, 0.90 kilogram aluminium, 45.75 kilogram sisa elektronik dan 121.85 kilogram minyak masak terpakai. Turut direkodkan jualan satu botol baja kompos," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Pada masa sama, program di Dewan JKKP Kampung Pandan Dalam mencatat kutipan lebih tinggi iaitu 1256.4 kilogram yang terdiri daripada 100.15 kilogram kertas, 78.95 kilogram kotak, 157.25 kilogram plastik, 255.95 kilogram besi, 5.5 kilogram aluminium, 3.75 kilogram tin besi, 182.10 kilogram sisa elektronik dan 472.85 kilogram minyak masak terpakai.
Program berkenaan turut bertujuan memberi pendidikan dan promosi berterusan mengenai amalan kitar semula serta penerangan berkaitan tatacara pengurusan sisa yang betul.
MPAJ akan terus mempergiat program seumpama itu bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam amalan kitar semula serta mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, hijau dan mampan.











