MPAJ peruntuk RM50,000 naik taraf padang Taman Muda

27 Okt 2026, 7:00 AM
MPAJ peruntuk RM50,000 naik taraf padang Taman Muda
MPAJ peruntuk RM50,000 naik taraf padang Taman Muda

AMPANG, 27 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperuntukkan RM50,000 untuk menaik taraf padang Taman Muda Ampang Fasa 3, termasuk menggantikan kemudahan permainan yang uzur serta membaiki laluan pejalan kaki dan kawasan berumput.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Yew Jia Haur, berkata usaha itu susulan aduan penduduk mengenai kemudahan padang yang tidak dinaik taraf sejak sekian lama, khususnya peralatan permainan yang rosak dan boleh mengancam keselamatan kanak-kanak.

Beliau menyuarakan masalah itu kepada MPAJ selepas menerima aduan ketika menghadiri Perayaan Pertengahan Musim Luruh anjuran Rukun Tetangga (KRT) setempat.

Kerja naik taraf yang mengambil masa lebih dua minggu itu selesai beberapa hari lalu dan turut merangkumi kerja mengecat semula kemudahan sedia ada.

Ahli Majlis MPAJ, Lee Wen Bin, berkata penambahbaikan itu bertujuan menyediakan persekitaran taman yang lebih selesa dan selamat untuk kegunaan penduduk.

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya tidak menanam pokok buah-buahan atau mengusahakan kebun sayur secara sewenang-wenangnya di kawasan taman kerana boleh menjejaskan kebersihan dan keindahannya.

Padang kemudahan rekreasi 190 keluarga

Timbalan Ketua KRT Taman Muda Ampang Fasa 3, Vadarajah, berkata padang itu satu-satunya ruang rekreasi awam bagi kira-kira 190 keluarga di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebahagian kemudahan permainan sebelum ini rosak dan berisiko mengancam keselamatan pengguna, justeru beliau berterima kasih kepada Yew dan MPAJ atas tindakan menaik taraf kemudahan itu.

Beliau berkata KRT berkenaan diaktifkan semula kira-kira empat bulan lalu dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi menangani masalah penduduk secara berperingkat.

“Kami juga sedang meneliti langkah seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memperkukuh keselamatan taman,” katanya.

Kereta terbiar risiko jadi tempat sarang ular

Dalam perkembangan lain, kira-kira 10 kereta terbiar dilaporkan masih diparkir di kawasan Taman Muda Ampang Fasa 3, yang berusia lebih 35 tahun. Sebahagiannya dipercayai ditinggalkan selama bertahun-tahun, manakala kehadiran ular turut dilaporkan di kawasan berkenaan.

Lee Wen Bin berkata beliau akan mengemukakan surat kepada bahagian penguatkuasaan MPAJ supaya tindakan diambil terhadap pemilik kenderaan terbabit, termasuk mengeluarkan notis amaran untuk mengalihkan kereta mereka.

Menurutnya, tindakan lanjut termasuk menunda kenderaan boleh diambil sekiranya pemilik gagal mematuhi arahan.

Vadarajah pula berkata kebanyakan kereta terbiar itu dipercayai milik penduduk setempat, namun tidak menolak kemungkinan terdapat kenderaan milik orang luar.

“Kami pernah menasihati penduduk supaya mengalihkan kereta terbiar atau meletakkannya di bahagian belakang bagi mengelakkan masalah terhadap persekitaran komuniti,” katanya.

Lee turut menyeru pemilik kenderaan supaya segera menguruskan kereta terbiar masing-masing agar tidak terus memenuhi ruang awam sehingga menjejaskan kebersihan dan keselamatan penduduk.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.