PMOS bukan sekadar masalah ovari, kenali tanda awal gangguan hormon

12 Sep 2026, 12:00 PM
PMOS bukan sekadar masalah ovari, kenali tanda awal gangguan hormon
PMOS bukan sekadar masalah ovari, kenali tanda awal gangguan hormon
PMOS bukan sekadar masalah ovari, kenali tanda awal gangguan hormon
PMOS bukan sekadar masalah ovari, kenali tanda awal gangguan hormon

SHAH ALAM, 12 SEPT: Wanita disaran tidak menormalisasikan kitaran haid tidak teratur kerana keadaan itu boleh menjadi antara tanda awal sindrom ovari polikistik (PCOS), yang kini dinamakan sindrom ovari metabolik poliendokrin (PMOS).

Pengarah Perubatan Femma Clinic, Dr Alia Zaferi berkata perubahan nama itu mencerminkan pemahaman lebih menyeluruh terhadap keadaan berkenaan yang bukan sekadar membabitkan ovari, malah turut berkait dengan gangguan hormon dan metabolik.

Menurutnya, PMOS sebelum ini sering disalah anggap sebagai masalah yang berpunca daripada kewujudan sista pada ovari, sedangkan seseorang wanita boleh mengalami keadaan berkenaan tanpa menunjukkan sista melalui pemeriksaan ultrabunyi.

Pengarah Perubatan Femma Clinic, Dr Alia Zaferi

“Dulu apabila bercakap mengenai PMOS, kebanyakan pesakit fikir ia masalah ovari sahaja. Sebenarnya ia lebih daripada sista dalam ovari.

“Sekarang kita faham ia melibatkan masalah hormon, metabolik dan juga ovari,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Haid tidak teratur

Dr Alia berkata antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah kitaran haid tidak teratur, termasuk tidak datang haid sehingga dua atau tiga bulan.

Menurutnya, keadaan itu tidak seharusnya dianggap normal kerana ia boleh menunjukkan proses ovulasi tidak berlaku seperti sepatutnya.

“Wanita zaman sekarang kadang-kadang menganggap kalau sebulan, dua bulan atau tiga bulan tidak datang haid itu normal, tetapi sebenarnya tidak.

“Kita sepatutnya datang haid setiap bulan. Apabila tidak berlaku setiap bulan, mungkin seseorang itu tidak berovulasi atau ada perkara lain yang perlu diperiksa,” katanya.

Beliau berkata kelewatan beberapa hari masih boleh berlaku, namun kitaran yang tersasar sehingga beberapa minggu atau bulan memerlukan pemeriksaan lanjut.

Katanya, kesakitan melampau ketika haid juga tidak wajar dinormalisasikan dan perlu mendapatkan pemeriksaan doktor.

Bukan sekadar imbasan

Dr Alia berkata diagnosis PMOS tidak boleh bergantung kepada pemeriksaan ultrabunyi semata-mata kerana keadaan itu turut melibatkan hormon dan sistem metabolik.

Menurutnya, imbasan hanya menunjukkan keadaan ovari tetapi tidak dapat mengenal pasti punca sebenar gangguan berkenaan.

“Imbasan ultrabunyi boleh beritahu kita ada banyak sista dalam ovari tetapi ia tidak boleh beritahu apa puncanya.

“Kita perlu buat pemeriksaan darah, gula, kolesterol, vitamin, zat besi serta hormon. Daripada situ barulah kita boleh lihat masalah sebenar dan merancang rawatan,” katanya.

Beliau berkata kewujudan sista juga bukan satu-satunya faktor untuk mengenal pasti PMOS kerana seseorang wanita boleh mengalami keadaan berkenaan walaupun imbasan tidak menunjukkan sista pada ovari.

Katanya, penilaian turut mengambil kira kitaran haid serta paras hormon tertentu dalam darah.

Justeru, wanita yang mengalami simptom berkaitan tidak seharusnya berasa lega hanya kerana keputusan ultrabunyi tidak menunjukkan kelainan, sebaliknya mendapatkan pemeriksaan susulan bagi mengenal pasti punca.

Berat sukar turun

Dalam pada itu, Dr Alia berkata PMOS juga boleh hadir menerusi simptom yang sering dianggap sebagai masalah biasa, termasuk berat badan meningkat atau sukar diturunkan, keletihan berpanjangan, jerawat hormon serta perubahan emosi.

“Ada pesakit yang berat badan tidak naik tetapi sangat susah hendak turun. Ada juga yang sangat penat walaupun sudah tidur lama.

“Jerawat hormon, perubahan emosi, keresahan dan kemurungan juga boleh menjadi antara simptom yang membuatkan kita perlu menyiasat kemungkinan PMOS,” katanya.

Menurutnya, gangguan berkenaan tidak hanya perlu diberi perhatian ketika seseorang wanita mahu berkahwin atau merancang kehamilan kerana kesannya turut boleh dirasai dalam kehidupan harian.

Antara kesannya termasuk tahap tenaga rendah, gangguan tidur, perubahan emosi serta kesukaran mengawal berat badan.

Justeru, wanita yang mengalami kitaran haid tidak teratur atau simptom berpanjangan disaran mendapatkan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca dan mendapatkan rawatan bersesuaian lebih awal.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.