MBI, UNISEL perkukuh penerapan ESG menerusi forum kelestarian

12 Sep 2026, 9:11 AM
MBI, UNISEL perkukuh penerapan ESG menerusi forum kelestarian

SHAH ALAM, 12 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Universiti Selangor (UNISEL) menggembleng kepakaran dalam bidang pelaburan dan akademik bagi memperkukuh penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi Forum Kelestarian dan ESG 2026, Khamis lalu.

Forum julung kali diadakan bertemakan Daripada Visi kepada Tindakan: Merealisasikan Masa Depan yang Lestari, Berdaya Tahan dan Strategik itu menghimpunkan kira-kira 150 peserta terdiri daripada anak syarikat Kumpulan MBI Selangor, agensi negeri serta pihak berkepentingan strategik.

MBI menerusi kenyataan memaklumkan forum berkenaan menjadi platform menggabungkan mandat pelaburan agensi itu dengan kepakaran akademik UNISEL bagi menterjemahkan agenda kemampanan kepada pelaksanaan yang memberi nilai jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop berkata kekuatan kedua-dua institusi yang saling melengkapi dapat membantu merapatkan jurang antara aspirasi dengan pelaksanaan agenda kemampanan.

“Kelestarian tidak dapat dicapai oleh satu institusi sahaja. MBI Selangor mempunyai mandat pelaburan dan keupayaan pelaksanaan, manakala UNISEL menyumbang kepakaran penyelidikan, ilmu dan bakat.

“Dengan menggabungkan kekuatan ini, kita dapat menterjemahkan matlamat kelestarian kepada tindakan nyata yang mencipta nilai jangka panjang untuk Selangor, komuniti dan generasi masa hadapan,” katanya.

Forum itu turut menampilkan pakar dalam bidang akademik, dasar awam, tadbir urus kelestarian dan industri dengan penglibatan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Negeri Selangor (SCAC) serta ahli akademik.

Turut hadir Pengasas Global Ambassadors of Sustainability (GAoS) yang juga bekas Felo Massachusetts Institute of Technology (MIT), Dr Wesam Al Madhoun, yang membincangkan kerjasama antara kerajaan, institusi akademik dan industri dalam memajukan kelestarian, daya tahan serta penerapan ESG.

Menurut MBI Selangor, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran ESG dalam kalangan pemimpin organisasi, selain memperkukuh tadbir urus kelestarian, pelaporan dan pemantauan prestasi di seluruh Kumpulan MBI Selangor.

Peserta turut bertukar pandangan mengenai kerjasama lebih kukuh antara pihak berkepentingan bagi menyokong daya tahan ekonomi, adaptasi perubahan iklim, inovasi, pertumbuhan inklusif dan daya saing masa hadapan.

Saipolyazan berkata forum berkenaan turut menjadi asas kepada kerjasama berterusan antara MBI Selangor dan UNISEL dalam bidang penyelidikan kelestarian, pembangunan bakat, pembinaan keupayaan serta inovasi gunaan.

“Menerusi kerjasama ini, kedua-dua institusi mengukuhkan komitmen untuk menterjemahkan ilmu kelestarian kepada tindakan yang bermakna, sekali gus menyumbang kepada pembentukan Selangor yang berdaya tahan, inklusif, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.