SHAH ALAM, 12 SEPT: Pasar terapung atau floating market menjadi antara tarikan utama Festival Budaya Selangor yang berlangsung dari 16 hingga 20 September ini di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat.
Festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor itu dibuka dari jam 10 pagi hingga 11 malam serta menampilkan pelbagai aktiviti sepanjang lima hari penganjurannya.
Menurut Facebook JKKN, pengunjung turut berpeluang menyertai Pertandingan Fotografi yang dinilai berdasarkan jumlah perkongsian, tanda suka dan reaksi tertinggi di media sosial, dengan tawaran hadiah berjumlah RM1,000.
Selain itu, festival berkenaan turut menampilkan pertandingan masakan India, demonstrasi dan jualan masakan etnik Selangor, sukan rakyat, futsal kain sarung, pertandingan sukan pantai berbatik, larian hantu, pertandingan wau kapal serta pertandingan marhaban.
Pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan di pelbagai reruai yang disediakan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perpustakaan bergerak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).
Festival Budaya Selangor dijangka menjadi platform kepada orang ramai untuk mengenali dan menghayati kepelbagaian seni serta budaya masyarakat negeri ini menerusi pelbagai persembahan dan aktiviti yang disediakan.







