Kampung Tanjung Sepat terima RM1.5 juta naik taraf kemudahan awam

24 Okt 2026, 8:15 AM
Kampung Tanjung Sepat terima RM1.5 juta naik taraf kemudahan awam
Kampung Tanjung Sepat terima RM1.5 juta naik taraf kemudahan awam
Kampung Tanjung Sepat terima RM1.5 juta naik taraf kemudahan awam
Kampung Tanjung Sepat terima RM1.5 juta naik taraf kemudahan awam
Kampung Tanjung Sepat terima RM1.5 juta naik taraf kemudahan awam

KUALA LANGAT, 24 OKT: Kampung Tanjung Sepat menerima peruntukan RM1.5 juta untuk menaik taraf kemudahan awam selepas dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI, bersempena ulang tahun ke-100 penubuhannya tahun ini.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata, peruntukan itu meliputi pembinaan dewan baharu, dataran, tandas awam dan taman permainan kanak-kanak bagi meningkatkan keselesaan serta kemudahan penduduk setempat.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan di Laman Madani@Kampung Tanjong Sepat, Kuala Langat pada 24 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Sebanyak RM1.5 juta diberikan, dan hari ini hari bersejarah. Kebetulan tahun ini mereka sambut ulang tahun ke-100 dan inilah rezeki mereka. Ini menunjukkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang begitu baik sekali.

“Mudah-mudahan program seperti ini dapat dilaksanakan di kampung-kampung yang masih memerlukan kemudahan awam seperti dewan terbuka dan dataran,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat ditemui selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Dewan Komuniti Madani, Kampung Tanjung Sepat di sini, hari ini.

Dalam program sama, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelambu turut terpilih sebagai Sekolah Angkat Madani dan menerima peruntukan sebanyak RM100,000 daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Peruntukan tersebut bagi melaksanakan kerja naik taraf makmal komputer, capaian internet yang lebih baik, memperkemas pusat sumber sekolah dan Bilik Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), serta baik pulih kantin sekolah dan bilik mesyuarat.

Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Sepat, Hashim Abdul Majid menyifatkan tahun ini sebagai tahun bertuah kampungnya menerusi pemilihan sebagai Kampung Angkat MADANI bagi tahun kedua berturut-turut.

Ketua Kampung Tanjong Sepat Hashim Abdul Majid bercakap kepada media selepas majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan di Laman Madani@Kampung Tanjong Sepat, Kuala Langat pada 24 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kami rasa amat bersyukur kerana kami terpilih sekali lagi sebagai Kampung Angkat MADANI. Kampung ini tertubuh pada 1926, dan genaplah 100 tahun pada tahun ini.

“Selepas ini, kami rancang mahu lengkapkan lagi prasarana dan kemudahan awam. Dewan ini juga akan disewakan kepada penduduk pada kadar munasabah,” katanya.

Inisiatif Kampung Angkat MADANI mula diperkenalkan pada Belanjawan 2024 sebagai pendekatan kerajaan untuk membantu meningkatkan kemudahan asas masyarakat luar bandar.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.