SHAH ALAM, 23 SEPT: Festival Budaya Selangor 2026 membantu merancakkan sektor pelancongan negeri selain memberi manfaat ekonomi kepada peniaga dan komuniti setempat.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata festival yang memasuki tahun ketiga itu turut memberi ruang kepada penggiat seni mengetengahkan bakat dan karya.
Menurutnya, program berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan untuk pengunjung seisi keluarga.
“Antara aktiviti yang ada termasuk Gema Cempuling, persembahan kebudayaan, seni bela diri, sukan rakyat dan pertandingan kanak-kanak.
“Saya percaya pembangunan dan kemajuan tidak lengkap tanpa identiti dan warisan. Seni, budaya dan warisan ini patut terus dipelihara, diraikan serta diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya menerusi Facebook.
Sebelum itu, beliau merasmikan Program Pelancongan Budaya: Festival Budaya Selangor 2026 di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat.
Festival berkenaan membawa moto “Seni Budaya, Cahaya Negeri” dan menghimpunkan pelbagai pengisian seni serta kebudayaan.
Borhan turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta semua pihak yang menjayakan program itu.











