KUALA LANGAT, 16 SEPT: Pasar terapung atau floating market yang menjadi tarikan utama Festival Budaya Selangor di Dataran Batu Laut, dekat sini, tampil mengetengahkan identiti semua daerah di negeri ini termasuk makanan tradisi.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata pasar itu akan melibatkan sembilan bot sebagai simbol mewakili semua daerah dan kenderaan terbabit dihias dengan konsep seni dan budaya di kawasan masing-masing.
Jelasnya, usaha itu bukan sahaja dapat mempertahankan tradisi lama malah berupaya mengembalikannya semula dalam kehidupan generasi muda masa kini.
“Bot-bot ini akan berlabuh di Pantai Batu Laut, masing-masing bawa identiti melambangkan sembilan daerah. Kalau penganjuran kali ini berjaya, floating market ini akan dijadikan sebagai acara tetap, mungkin dalam enam bulan sekali.
“Ini sekali gus dapat memperkenalkan kawasan ini sebagai lokasi tarikan baharu selain aktiviti ini turut menjadi identiti baharu kawasan setempat Batu Laut,” katanya selepas merasmikan program Hari Malaysia dan penutup bulan Kebangsaan peringkat Kuala Langat hari ini.
Mengulas lanjut, Borhan berkata pihaknya menyasarkan festival yang bermula hari ini sehingga Ahad depan bakal menerima kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung, berdasarkan sambutan menggalakkan sebelum ini.
Katanya, pelbagai acara menarik lain turut disusun termasuk Pasar Klasik, pameran kebudayaan, sukan rakyat, aktiviti kekeluargaan dan mesra kanak-kanak, pertandingan marhaban dan berzanji selain persembahan artis terkenal serta rerumah jualan.
“Tahun lepas kita rekodkan kehadiran 70,000 pengunjung dan kali ini kita yakin jumlahnya mampu sehingga 100,000 kerana festival berlangsung lebih lama.
“Dalam usaha mahu memperkenalkan budaya, festival ini juga akan membantu peniaga kecil menjana pendapatan memandangkan kita sediakan banyak reruai untuk dijadikan platform memperkenalkan produk dan jualan,” katanya.
Festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor itu dibuka dari jam 10 pagi hingga 11 malam turut menawarkan peluang menyertai pertandingan fotografi dengan tawaran hadiah berjumlah RM1,000.
Pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan di pelbagai reruai yang disediakan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perpustakaan bergerak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).







