SHAH ALAM, 11 SEPT: Simpang Ulu Yam di FT001 KM436.6 bakal dilengkapi lampu isyarat bagi meningkatkan keselamatan pengguna, khususnya kenderaan yang keluar masuk di persimpangan berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao berkata projek yang diluluskan Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan peruntukan RM400,000 itu dijangka siap pada 16 Oktober.
"Pemasangan lampu isyarat ini penting kerana simpang berkenaan merupakan antara laluan utama penduduk menuju Rawang, Kuala Lumpur dan Kuala Kubu Bharu (KKB).
"Kenderaan yang mahu membelok ke kanan menuju Batang Kali dan KKB perlu melintasi dua lorong, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan. Malah, kemalangan maut pernah berlaku di lokasi ini," ujarnya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata projek itu turut meliputi pemasangan kabel, pembinaan pembahagi jalan, papan tanda, garisan amaran serta pemasa kira detik.
Menurut Sock Tao, permohonan menaik taraf simpang berkenaan dikemukakan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor pada 2024 susulan aduan penduduk sebelum kajian dilaksanakan pada tahun berikutnya.
"Permohonan ini dibuat susulan kebimbangan penduduk terhadap aspek keselamatan di simpang berkenaan dan kita terus membuat susulan sehingga mendapat kelulusan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kos pelaksanaan projek berjaya dikurangkan kepada RM350,000 menerusi proses tender terbuka JKR Hulu Selangor, sekali gus menjimatkan RM50,000 daripada peruntukan asal RM400,000.
"Penjimatan RM50,000 ini membuktikan pelaksanaan secara tender terbuka membolehkan projek dilaksanakan pada kos lebih rendah daripada peruntukan yang diluluskan," jelasnya.
Sock Tao berharap pemasangan lampu isyarat itu dapat mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya.
"Kita berharap kemudahan ini dapat mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan semua pengguna jalan raya dapat keluar dan pulang dengan selamat.
"Lampu isyarat berkenaan dijangka mula beroperasi selepas kerja pemasangan selesai, tertakluk kepada kesesuaian semasa," katanya.








