Penduduk KKB digesa manfaat perkhidmatan ambulans percuma

11 Ogos 2026, 8:56 AM
Penduduk KKB digesa manfaat perkhidmatan ambulans percuma

SHAH ALAM, 11 OGOS: Penduduk Kuala Kubu Bharu (KKB) yang memerlukan pengangkutan ke hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan atau janji temu susulan digesa memanfaatkan perkhidmatan Ambulans Kita Selangor (AKS) yang kini diperluas ke seluruh Selangor.

Wakil rakyatnya Pang Sock Tao berkata kemudahan itu khususnya boleh dimanfaatkan keluarga berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000 yang mempunyai pesakit memerlukan pengangkutan ambulans.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock

"Selain itu, perkhidmatan ini juga terbuka kepada pesakit yang memerlukan bekalan oksigen berterusan sepanjang perjalanan atau pesakit terlantar yang memerlukan bantuan untuk bergerak," katanya menerusi hantaran video di Facebook.

Menurutnya, penduduk yang ingin mendapatkan kemudahan itu boleh mengemukakan permohonan di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN KKB dengan menyertakan salinan kad pengenalan, surat janji temu atau surat keluar hospital serta bukti pendapatan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada PKM DUN KKB menerusi talian 011-1158 9865, 014-337 5776 atau 016-2015 561.

Ambulans yang terdapat di majlis Pelancaran Ambulans Kita Selangor Fasa Dua 2026 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 Julai 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

AKS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang diperkenalkan pada November tahun lalu dan kini diperluas bagi membolehkan lebih ramai penduduk Selangor yang memenuhi syarat mendapatkan pengangkutan ambulans secara percuma.

Inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Selangor turut membantu keluarga menjimatkan kos sehingga RM600 yang sebelum ini perlu ditanggung sekiranya menggunakan perkhidmatan ambulans swasta.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.