Rumah Pasong Balai Polis Kerling dibaik pulih, bakal jadi pusat rekreasi

16 Jul 2026, 8:00 AM
Rumah Pasong Balai Polis Kerling dibaik pulih, bakal jadi pusat rekreasi

SHAH ALAM, 16 JULAI: Rumah Pasong Balai Polis Kerling yang dibina pada 1936 sedang dibaik pulih sebagai usaha memelihara bangunan warisan di Hulu Selangor sebelum dijadikan pusat rekreasi untuk kegunaan warga balai berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao berkata beliau meninjau perkembangan kerja pemulihan bangunan itu yang suatu ketika dahulu digunakan sebagai tempat tahanan.

Menurutnya, usaha mendapatkan peruntukan bagi membaik pulih Rumah Pasong telah dimulakan sejak dua tahun lalu dan kini berjaya direalisasikan.

"Dua tahun lalu, saya berazam untuk mendapatkan peruntukan bagi membaik pulih bangunan warisan ini sekiranya diberi mandat.

"Alhamdulillah, usaha tersebut kini menjadi kenyataan apabila kerja-kerja pemulihan sedang giat dijalankan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Keadaan Rumah Pasong Balai Polis Kerling sebelum (kiri) dan selepas kerja pemulihan dijalankan. Foto Facebook Pang Sock Tao

Sock Tao berkata Rumah Pasong itu mempunyai nilai sejarah yang berkait rapat dengan pembangunan Kuala Kubu Bharu selepas tragedi banjir yang memusnahkan Kuala Kubu Lama.

Menurut beliau, Kuala Kubu Bharu kemudiannya dibangunkan sebagai sebuah bandar kolonial berkonsepkan "bandar dalam taman" hasil reka bentuk arkitek Charles Reade.

Katanya, kedudukan Rumah Pasong yang dibina di kawasan lebih tinggi di lereng bukit dipercayai antara langkah bagi mengurangkan risiko banjir pada ketika itu.

"Saya percaya inilah antara sebab Rumah Pasong ini dibina di kawasan yang lebih tinggi di lereng bukit, sebagai langkah mengurangkan risiko banjir pada ketika itu," katanya.

Beliau berkata bangunan itu akan dijadikan sebagai pusat rekreasi untuk kegunaan warga Balai Polis Kerling sebaik sahaja kerja pemulihan selesai.

"Tahniah kepada IPD Hulu Selangor atas usaha memelihara bangunan warisan ini," katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.