Naik taraf longkang, kolam takungan Taman Seri disegerakan atasi banjir kilat

1 Ogos 2026, 11:00 AM
Naik taraf longkang, kolam takungan Taman Seri disegerakan atasi banjir kilat
Naik taraf longkang, kolam takungan Taman Seri disegerakan atasi banjir kilat

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerja menaik taraf longkang dan sistem kolam takungan di Taman Seri, Batang Kali akan disegerakan bagi mengurangkan risiko banjir kilat yang kerap melanda kawasan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao berkata langkah itu diambil susulan kejadian banjir kilat pada 30 Julai lalu apabila kawasan berkenaan merekodkan taburan hujan 96.7 milimeter dalam tempoh hanya 30 minit.

"Kita telah mengenal pasti beberapa tindakan segera yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf longkang dan kolam takungan di Jalan Lima serta Jalan Tujuh.

"Selain itu, longkang perimeter di hadapan tanah perkuburan Islam yang sebelum ini tidak berada dalam skop pembersihan KDEB Waste Management (KDEBWM) akan dimasukkan ke dalam jadual penyelenggaraan bulanan supaya penyelenggaraan dapat dilaksanakan secara berkala dan aliran air sentiasa lancar," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao meninjau lokasi banjir kilat di Taman Seri, Batang Kali bagi menyelaras tindakan segera susulan hujan lebat yang melanda kawasan itu. Foto Facebook Pang Sock Tao

Beliau berkata Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) turut bersetuju membaik pulih sistem kolam takungan yang runtuh berhampiran tanah perkuburan walaupun struktur berkenaan bukan dibina oleh pihak majlis.

"Tindakan itu dipersetujui hasil tinjauan bersama MPHS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penyelesaian," ujarnya.

Menurut Sock Tao, sistem perparitan di Taman Seri yang dibangunkan sekitar 1980 tidak lagi mampu menampung taburan hujan semasa yang semakin tinggi.

"Taman Seri dibangunkan sekitar tahun 1980. Rekaan sistem perparitan ketika itu tidak lagi sesuai untuk menampung taburan hujan semasa yang jauh lebih tinggi.

"Justeru, satu kajian menyeluruh harus dilaksanakan bagi mengenal pasti kawasan paling kritikal, termasuk titik paling rendah, supaya kerja-kerja naik taraf dapat disegerakan mengikut keutamaan," katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao bersama pegawai agensi berkaitan meneliti keadaan longkang dan aliran air sebagai sebahagian usaha mengenal pasti punca banjir serta langkah mitigasi di Taman Seri, Batang Kali. Foto Facebook Pang Sock Tao

Beliau berkata kawasan itu lazimnya mengalami banjir kilat apabila taburan hujan melebihi 65 milimeter, manakala hujan lebat semalam merekodkan kira-kira 96.7 milimeter dalam tempoh hanya 30 minit.

Tambahnya, sepanjang sedekad lalu beberapa kerja naik taraf sistem saliran telah dilaksanakan secara berperingkat, namun kajian menyeluruh terhadap keseluruhan sistem perparitan di Taman Seri belum pernah dibuat.

Menurutnya, kejadian kelmarin menjejaskan enam rumah berbanding lebih 10 rumah dalam kejadian banjir sebelum ini, sekali gus menunjukkan beberapa kerja penambahbaikan yang dilaksanakan sebelum ini berjaya mengurangkan impak banjir.

"Kerja pembersihan saliran telah dilaksanakan, manakala kerja-kerja naik taraf akan diteruskan mengikut prosedur MPHS sebaik proses pelaksanaan dimuktamadkan," katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.