SHAH ALAM, 18 OGOS: Jambatan besi uzur di Kampung Orang Asli Pertak, Hulu Selangor bakal dinaik taraf dan dibaik pulih menerusi peruntukan RM500,000 yang diluluskan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao berkata kelulusan peruntukan itu memberi sinar harapan selepas isu jambatan berkenaan dibangkitkan secara berterusan sejak kira-kira dua tahun lalu.
“Bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pengerusi Kampung Orang Asli Pertak, saya turun meninjau sendiri keadaan jambatan besi yang sudah usang dan rosak ini.
“Saya faham isu ini dan selepas dibangkitkan secara berterusan selama dua tahun, akhirnya kita nampak sinar harapan apabila peruntukan RM500,000 diluluskan JAKOA untuk menaik taraf dan membaik pulih jambatan ini,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook.

Menurut beliau, jambatan itu merupakan laluan utama pendaki yang ingin ke Bukit Kutu dan Ladang Medang, selain digunakan penduduk kampung untuk ke tanah perkuburan.
Sock Tao berkata kerja menaik taraf dijangka dimulakan sebaik sahaja beberapa isu teknikal, termasuk berkaitan status tanah diselesaikan.
“Kita harap kerja menaik taraf dapat dimulakan sebaik sahaja isu teknikal dan tanah diselesaikan. Kita akan terus membuat susulan bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan,” katanya.







