Lelaki curi 65 barangan termasuk ubat gigi, putik kapas didenda RM2,000

11 Sep 2026, 7:06 AM
Lelaki curi 65 barangan termasuk ubat gigi, putik kapas didenda RM2,000

SHAH ALAM, 11 SEPT: Seorang lelaki didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri 65 barangan bernilai RM730.97 dari sebuah pasar raya di Subang Jaya, Disember tahun lalu.

Mohd Aslizan Mustafa Maarof, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman, yang turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Menurut laporan BH Online, antara barangan yang dicuri termasuk ubat gigi, ayam segar, minyak angin bayi, susu formula bayi, mi segera, kiub pati ayam, kek lapis dan putik kapas.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu pentadbiran di sebuah syarikat penghantaran bateri kenderaan melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Subang Jaya pada jam 7 malam, 20 Disember tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan mitigasi, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Vijeswari Devi berkata tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga seramai tujuh orang, termasuk seorang anak autistik.

Katanya, tertuduh turut mempunyai masalah jantung dan akan kehilangan sumber pendapatan berikutan sabitan berkenaan.

"Justeru, kami memohon bon di bawah Seksyen 173A Kanun Tatacara Jenayah tanpa direkodkan sabitan kesalahan. Tertuduh juga sedia membayar pampasan sekiranya bon tidak dibenarkan serta memohon hukuman denda minimum," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selain mengarahkan tertuduh membayar pampasan kepada pasar raya berkenaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.