SHAH ALAM, 11 SEPT: Isu kabel elektrik terdedah di kawasan lapang Taman Permainan Goodview 2, Bandar Sungai Long perlu ditangani segera bagi mengelak risiko renjatan elektrik yang boleh membahayakan penduduk.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong berkata tindakan menyeluruh perlu dilakukan susulan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera parah pada tangan selepas terkena renjatan elektrik ketika bermain di kawasan berkenaan pada 30 Ogos lalu.
"Kita perlu memastikan perkara seperti ini tidak berulang. Aspek keselamatan di kawasan lapang yang menjadi tumpuan penduduk terutama kanak-kanak perlu diberi perhatian dan sebarang risiko perlu ditangani segera," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata mangsa, Muhammad Hafiz Fikri, dipercayai tersentuh kabel berkenaan ketika bermain bersama abang dan kakaknya kira-kira jam 6.30 petang sebelum dikejarkan ke hospital.
Menurut David, mangsa mengalami kecederaan serius pada tangan akibat renjatan elektrik berkuasa 415 volt tiga fasa sehingga terpaksa menjalani pembedahan.
"Bapanya memberitahu terdapat perkembangan positif apabila kulit yang didermakan untuk rawatan berjaya diterima tubuh mangsa.
"Keadaannya semakin baik tetapi masih perlu berada di hospital untuk beberapa minggu bagi menjalani pemantauan lanjut," ujarnya.
Katanya, Suruhanjaya Tenaga dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menjalankan pemeriksaan di lokasi serta menutup kawasan lapang berkenaan demi keselamatan penduduk.
Beliau turut mempersoalkan kewujudan kotak penyambung (junction box) di lokasi berkenaan yang berisiko rosak akibat terdedah kepada cuaca atau terkena mesin ketika kerja pemotongan rumput.
"Saya bertanya kepada pegawai MPKj mengapa perlu ada junction box di situ dan mengapa kabel tidak disambungkan terus dari satu lampu ke lampu yang lain.
"Pegawai menjelaskan perkara itu perlu disemak kerana junction box seperti itu tidak dibenarkan berada di kawasan berkenaan. Jika dibiarkan dalam tempoh lama, ia boleh rosak dan mendatangkan risiko kepada penduduk," katanya.
Beliau berkata persatuan penduduk kawasan berkenaan juga pernah mengemukakan aduan mengenai isu itu melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) lebih dua tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, aduan berkenaan hanya dipanjangkan kepada jabatan berkaitan tanpa perkembangan lanjut mengenai tindakan atau penyelesaian.
"Rakyat mahukan hasil daripada aduan yang dibuat, sama ada hasil siasatan, kerja pembaikan atau penyelesaian terhadap masalah yang dibangkitkan.
"Bukan sekadar menerima maklum balas dalam tempoh 24 jam aduan sudah diserahkan kepada jabatan berkenaan tetapi selepas itu tiada perkembangan," ujarnya lagi.
Tegasnya, setiap aduan terutama membabitkan keselamatan awam perlu disusuli tindakan dan penyelesaian yang jelas supaya risiko dapat dikenal pasti serta ditangani sebelum berlaku kejadian tidak diingini.
"Bantuan awal sudah disalurkan kepada keluarga mangsa. Saya sedang memantau keadaannya dan berdasarkan perkembangan terkini daripada bapanya, keadaan mangsa semakin baik," katanya.








