PERHILITAN tambah perangkap babi hutan di Taman Vista Mutiara, Kajang

16 Okt 2026, 1:00 AM
PERHILITAN tambah perangkap babi hutan di Taman Vista Mutiara, Kajang
PERHILITAN tambah perangkap babi hutan di Taman Vista Mutiara, Kajang

SHAH ALAM, 16 OKT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan menambah perangkap babi hutan di Taman Vista Mutiara, Kajang susulan kebimbangan penduduk terhadap gangguan haiwan liar berkenaan.

Wakil rakyat Kajang, David Cheong berkata perkara itu dimaklumkan selepas beliau bersama Pengarah PERHILITAN Selangor Rahmah Ilias turun padang meninjau masalah tersebut.

“Kita turun padang selepas penduduk buat aduan kehadiran babi hutan. Menurut penduduk, ia mungkin masuk ke kawasan kediaman pada waktu malam untuk mencari makanan,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, kawasan berbukit dan berhutan di belakang kediaman dipercayai menjadi habitat babi hutan yang keluar mencari makanan pada waktu malam sebelum kembali ke hutan pada sebelah pagi.

“Kehadiran babi hutan itu bukan sahaja mengganggu penduduk, malah menimbulkan kebimbangan kerana haiwan berkenaan berupaya mengejar atau menanduk orang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) David Cheong (kanan) turun padang ke Taman Vista Mutiara susulan aduan gangguan babi hutan yang membimbangkan penduduk setempat. Foto Facebook David Cheong

“Ia juga turut memasuki kawasan tanaman penduduk walaupun pagar sudah dipasang di sekeliling kediaman, namun babi masih boleh masuk,” katanya.

Susulan itu, penduduk bercadang memasang pagar lebih kukuh bagi menghalang kemasukan haiwan berkenaan dengan anggaran kos antara RM70,000 hingga RM80,000.

David berkata penduduk sudah mengumpul kira-kira separuh daripada jumlah diperlukan, namun masih kekurangan lebih RM30,000 untuk melaksanakan pemasangan pagar itu.

Menurut beliau, pihaknya akan membantu mendapatkan peruntukan daripada agensi berkaitan selain mempertimbangkan sumbangan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya akan panjangkan permohonan mereka kepada pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor dan akan turut menyumbang peruntukan dari pejabat saya sendiri,” katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.