Belanjawan Selangor 2027: Negeri disaran wujud mekanisme khas bantu gelandangan

13 Okt 2026, 2:00 AM
Belanjawan Selangor 2027: Negeri disaran wujud mekanisme khas bantu gelandangan
Belanjawan Selangor 2027: Negeri disaran wujud mekanisme khas bantu gelandangan

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan Negeri disaran mewujudkan mekanisme khas bagi membantu golongan gelandangan susulan jumlah mereka dilihat semakin ketara di beberapa kawasan tumpuan, khususnya di Kajang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong Kian Young berkata langkah itu penting bagi memastikan golongan berkenaan tidak terus terbiar tanpa pemantauan, terutama selepas keluar dari institusi seperti penjara atau hospital.

Menurutnya, isu gelandangan bukan hanya melibatkan aspek kebajikan, sebaliknya turut berkait dengan pemulihan, kesihatan mental dan sokongan komuniti yang memerlukan penyelarasan lebih tersusun.

“Kita ada Penjara Kajang. Apabila mereka dibebaskan, ada yang akhirnya berada di kawasan sekitar seperti Pasar Kajang, stesen atau perhentian bas.

“Bagi pesakit mental pula, apabila mereka keluar dari hospital dan tidak meneruskan pengambilan ubat, keadaan mereka boleh kembali tidak stabil. Jadi, perkara ini perlu ada pemantauan susulan,” katanya dalam program SKOP terbitan Media Selangor.

Sehubungan itu, David berharap Kerajaan Negeri dapat menubuhkan satu jabatan atau organisasi khas bagi menyelaras bantuan, kaunseling dan pemulihan kepada golongan berkenaan.

Tambahnya pemantauan secara berkala penting bagi memastikan mereka benar-benar pulih, mampu berdikari dan tidak kembali hidup bergelandangan di kawasan awam.

“Usaha ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak boleh diletakkan kepada satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai agensi berkaitan," kataya.

Beliau berharap cadangan itu diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor 2027 sebagai sebahagian usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti, khususnya di kawasan bandar seperti Kajang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor pada 13 November ini.

Selangor memperuntuk RM3.23 bilion dalam Belanjawan 2026, merangkumi RM1.86 bilion atau 57.6 peratus bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus untuk pembangunan.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.