Selangor perlu beralih kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi

10 Sep 2026, 1:48 PM
Selangor perlu beralih kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi

PUTRAJAYA, 10 SEPT: Selangor perlu beralih kepada aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi selain memastikan agihan pendapatan yang lebih saksama bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa ekonomi negara.

Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Asia-Eropah Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Rajah Rasiah berkata Selangor perlu bergerak melangkaui sektor pembuatan bernilai sederhana dengan memberi tumpuan kepada industri yang mempunyai potensi nilai tambah lebih tinggi.

Menurutnya, usaha itu termasuk memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta ekosistem semikonduktor secara menyeluruh.

Pengarah Eksekutif Institut Asia Eropah Universiti Malaya Dato' Prof Ulung Dr Rajah Rasiah ketika Sesi Libat Urus Belanjawan Negeri Selangor di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada 10 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata Selangor juga tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada bidang seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) atau pembungkusan cip termaju, sebaliknya menggalakkan limpahan teknologi ke sektor lain termasuk pertanian, automotif, perlombongan dan robotik.

“Penyebaran teknologi perlu diberi keutamaan supaya kemajuan dalam sektor semikonduktor dan elektronik dapat dimanfaatkan oleh lebih banyak industri,” katanya ketika sesi perkongsian pada Sesi Libat Urus Belanjawan Negeri Selangor 2027 di Hotel Le Meridien, di sini hari ini.

Rajah mengambil contoh United Microelectronics Corporation (UMC) di Taiwan yang menurutnya menunjukkan bagaimana teknologi boleh dibangunkan dan diaplikasikan merentasi pelbagai sektor ekonomi, berbanding hanya memberi tumpuan kepada persaingan teknologi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan ekonomi perlu disertai usaha mengurangkan kemiskinan mutlak serta memperbaiki kedudukan isi rumah berpendapatan di bawah paras median.

“Pada akhirnya, kita memerlukan ekonomi yang memastikan agihan lebih saksama dan mengelakkan jurang perbezaan yang terlalu besar.

“Dalam menilai prestasi ekonomi Selangor, negeri ini boleh membuat perbandingan dengan wilayah dan negeri lain, bukan hanya bergantung kepada bandar-bandar utama kerana perbezaan struktur ekonomi dan kawasan sekitarnya boleh mempengaruhi perbandingan,” katanya.

Penasihat Ekonomi Jabatan Perdana Menteri Nurhisham Hussein ketika Sesi Libat Urus Belanjawan Negeri Selangor di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada 10 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata Selangor boleh memanfaatkan dasar sedia ada di peringkat Persekutuan termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Beliau turut mengetengahkan potensi ekonomi altitud tinggi yang merangkumi penggunaan dron dan robotik, dengan Selangor boleh meneroka peluang dalam bidang pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta penghantaran menggunakan dron.

Nurhisham pada masa sama mengingatkan perubahan iklim bakal menjadi cabaran besar terhadap ekonomi dan pembangunan, khususnya bagi Selangor.

“Negeri ini merupakan antara tiga negeri di Semenanjung yang dijangka paling terjejas, dengan risiko termasuk kenaikan paras laut, banjir, kerugian dalam sektor pertanian, gangguan infrastruktur dan kehilangan pekerjaan.

“Dalam tempoh 20 tahun, satu juta rakyat Malaysia akan terjejas akibat perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu memerlukan persediaan lebih menyeluruh bagi menghadapi kesan perubahan iklim terhadap ekonomi dalam jangka panjang.

Katanya, usaha adaptasi perubahan iklim tidak boleh bergantung kepada projek tebatan banjir semata-mata, sebaliknya turut memerlukan perhatian terhadap peralihan tenaga, pengurangan pelepasan karbon dan rasionalisasi subsidi bahan api.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.