
KUALA LANGAT, 16 SEPT: Penyelengaraan infrastruktur dan fasiliti di kawasan pangsapuri kos rendah akan menjadi keutamaan tahun depan bagi memastikan penduduk mendapat persekitaran lebih sejahtera.
Berikutan itu, EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berharap Belanjawan Selangor 2027 yang akan dibentang tidak lama lagi, memberi tumpuan kepada Skim Ceria supaya usaha berkenaan dapat dilaksana secepat mungkin.
“Dengan penambahan bajet dalam skim ini, kita mahu senggara rumah flat. Baiki atau tambah baik kemudahan yang dah rosak terutama kediaman yang berusia lebih 20 tahun.
“Bangunan ini dah nampak usang. Kena baiki longkang, lif, tangki air malah ada yang perlu dicat semula. Begitu juga kawasan taman permainan, kena baiki. Macam mana mereka nak jalankan aktiviti komuniti jika kemudahan tak sempurna?
“Dalam masa sama, usaha ini diharap mendapat sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta agensi berkaitan. Kita tangani masalah dihadapi penduduk di kawasan kos rendah,” katanya selepas merasmikan program Hari Malaysia dan penutup bulan Kebangsaan peringkat Kuala Langat hari ini.
Selain itu, Borhan berkata Rewang Komuniti juga akan diteruskan tahun depan selepas melihat sambutan yang menggalakkan selain manfaatnya kepada pelbagai pihak terutama golongan penduduk.
“Ini menjadi satu wadah untuk kita membentuk perpaduan kaum. Program juga dapat mengeratkan hubungan antara pentadbiran dengan penduduk,” katanya.
Menerusi belanjawan tahun ini, Selangor memperuntukkan RM2 juta bagi meneruskan Program Rewang Komuniti Strata bertemakan ‘Rewang Komuniti Ke Arah Kelestarian Komuniti Pangsapuri’.
Program bermula April lalu berlangsung di gugusan pangsapuri berbeza dengan penglibatan agensi Kerajaan Negeri dan persekutuan bagi meneliti secara dekat isu serta keperluan penduduk strata.







