SHAH ALAM, 14 NOV: Sejumlah RM40 juta diperuntuk kepada Dana Semikonduktor Selangor bagi mempercepat akses suntikan modal kepada syarikat terlibat dengan taman reka bentuk litar bersepadu (IC), kata Dato’ Menteri Besar.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, dana yang secara keseluruhan menyasar pengumpulan modal sebanyak RM100 juta dengan kerjasama sektor swasta itu dapat memastikan industri semikonduktor bertahan secara lebih mampan.
“Dana ini akan mempercepatkan akses suntikan modal pembangunan kepada syarikat yang terlibat dalam reka bentuk litar tertutup semikonduktor ke arah meningkatkan keupayaan Selangor dan Malaysia untuk mengeksport semikonduktor,” katanya membentang Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Awal bulan ini, Amirudin berkata Dana Semikonduktor Selangor atau Ehsan Capital dibangunkan bagi memacu inovasi serta menyokong syarikat permulaan tempatan dalam bidang reka bentuk cip dan teknologi semikonduktor.
Inisiatif ini dibangunkan melalui agensi negeri iaitu Perbadanan Teknologi, Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), dengan kerjasama Artem Venture Fund.
Sementara itu Amirudin berkata sejumlah RM5 juta diperuntukkan tahun depan bagi meneruskan usaha pembangunan IC selain menyokong Selangor dalam industri semikonduktor yang bernilai tinggi.
“Kita sedar tindakan ini tidak datang tanpa risiko terutamanya dalam keadaan ekonomi dunia sedang berhadapan dengan tarif tetapi ini juga membuka peluang kepada Selangor untuk mempelbagaikan pasaran serta meningkatkan keupayaan industri tempatan untuk menggunakan cip berteknologi tinggi.
“Saya yakin ini juga memberi dorongan kepada generasi muda Selangor untuk menceburi bidang kejuruteraan dengan lebih serius melihat kepada potensi pekerjaan yang mampu menawarkan gaji tinggi,” katanya.
Pada 6 November, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji langkah proaktif dan keberkesanan kerajaan Selangor dalam mempercepat pembangunan ekosistem semikonduktor negeri itu.
Kemajuan yang dapat dilihat menerusi inisiatif seperti Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Semikonduktor Malaysia 1 dan 2 - hasil kerjasama antara Putrajaya dan Selangor - mencerminkan keupayaan pelaksanaan yang kukuh serta komitmen tinggi negeri terhadap pertumbuhan industri negara.
Anwar menekankan keperluan Malaysia membina ekosistem semikonduktor yang kukuh dengan dasar jelas, infrastruktur mantap, kecemerlangan penyelidikan dan tenaga mahir agar negara mampu bersaing di peringkat global.





