MB: Selangor peruntuk RM136.2 juta untuk pendidikan, tertinggi setakat ini

8 Mei 2026, 1:00 AM
MB: Selangor peruntuk RM136.2 juta untuk pendidikan, tertinggi setakat ini
MB: Selangor peruntuk RM136.2 juta untuk pendidikan, tertinggi setakat ini
MB: Selangor peruntuk RM136.2 juta untuk pendidikan, tertinggi setakat ini
MB: Selangor peruntuk RM136.2 juta untuk pendidikan, tertinggi setakat ini

SYDNEY, 8 MEI: Peruntukan RM136.2 juta yang diumum menerusi belanjawan negeri 2026 mencerminkan komitmen pentadbiran ini dalam memperkasa ekosistem pendidikan anak Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, dana itu yang tertinggi untuk pendidikan setakat ini dengan peningkatan RM55 juta berbanding tahun sebelumnya.

“Sudah tentu ini menggambarkan hasrat tinggi Kerajaan Negeri untuk terus memperkasa ekosistem pendidikan bermula dari pendidikan awal, tertiari dan vokasional.

“Kita mahu generasi masa hadapan Selangor terus diperkukuhkan dan berdaya saing,” katanya merasmikan Konvensyen Mahasiswa Selangor Luar Negara Australia (KOMSEL) 2026 melalui rakaman yang disiarkan pada majlis di ParkRoyal Darling Harbour di sini malam ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak RM2 juta diperuntuk bagi pembangunan mahasiswa Anak Selangor termasuk konvensyen, program mahasiswa dan Jerayawara Siswa Kita Selangor.

Tambahnya, inisiatif utama di bawah pendidikan tinggi serta Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) pula merangkumi geran penyelidikan, baucar buku dan Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU).

“(Ini termasuk) subsidi pendidikan Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS), juga program-program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata pendidikan separa percuma turut diperkenal untuk anak Selangor mengikuti pengajian di UNISEL dan UIS dengan membiayai bayaran yuran asas.

“Insya-Allah, usaha ini adalah permulaan kepada ikhtiar kita untuk membantu mewujudkan pendidikan percuma bagi anak Selangor jika keadaan kewangan negeri mengizinkan nanti,” katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.