Dari penjara ke PhD, kisah Dr Malik Yatam beri inspirasi

10 Sep 2026, 8:11 AM
Dari penjara ke PhD, kisah Dr Malik Yatam beri inspirasi
Dari penjara ke PhD, kisah Dr Malik Yatam beri inspirasi

SHAH ALAM, 10 SEPT: Pengalaman menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman penjara menjadi pencetus kepada Dr Malik Yatam untuk menghasilkan naskhah ‘PhD dari Penjara’ yang sarat dengan mesej perubahan dan harapan.

Beliau berkata kisah yang dikongsikan menerusi buku berkenaan diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat, khususnya individu yang sedang berdepan cabaran dalam kehidupan supaya tidak berputus asa untuk memperbaiki diri.

Katanya, seseorang masih mempunyai peluang untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik selagi mempunyai keinginan dan kesungguhan untuk berubah.

"Mesej yang ingin saya sampaikan melalui buku ini adalah tiada yang mustahil selagi mana kita ada keinginan untuk berubah," katanya ketika ditemui Media Selangor.

Malik ditemui pada Majlis Pelancaran Naskhah ‘PhD dari Penjara’ yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS) di sini, hari ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj  berkenan beramah mesra bersama Dr. Malik Yatam, penulis karya “PhD dari Penjara” ketika gimik pelancaran naskhah di Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS), Shah Alam pada 10 September 2026. Turut hadir Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata pengalaman hidup yang dilaluinya turut menjadi dorongan untuk berkongsi kisah berkenaan, terutama dengan mereka yang mungkin merasakan diri tidak mempunyai peluang untuk bangkit daripada kesukaran.

"Bila kita rasa hidup kita ini tidak ada maknanya, atau mungkin kita rasa kita berdepan dengan cabaran besar, kita kena ingat dan percaya sebenarnya ada orang lain yang hadapi masalah lebih besar daripada kita.

"Selagi mana kita bernama manusia, selagi itulah cubaan dan ujian akan sentiasa mengiringi kita dalam pelbagai bentuk," katanya.

Dalam pada itu, Malik merakamkan penghargaan kepada DYMM Sultan Selangor, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah atas sokongan yang diberikan sepanjang perjalanan hidup dan usahanya melakukan perubahan.

Katanya, sokongan berterusan daripada pelbagai pihak bukan sahaja memberi makna besar kepadanya, malah meningkatkan keyakinan untuk terus berkongsi kisah perubahan dan inspirasi dengan masyarakat.

"Sokongan ini memberi makna besar serta meningkatkan lagi keyakinan diri saya untuk terus berkongsi kisah inspirasi mengenai perubahan kepada semua," katanya.

Pada majlis sama, Malik turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai warganegara Malaysia pertama yang berjaya menamatkan pengajian PhD ketika sedang menjalani hukuman penjara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.