Stigma jadi hukuman kedua bekas banduan, seru masyarakat sebahagian daripada penyelesaian

12 Feb 2026, 1:00 AM
Stigma jadi hukuman kedua bekas banduan, seru masyarakat sebahagian daripada penyelesaian
Stigma jadi hukuman kedua bekas banduan, seru masyarakat sebahagian daripada penyelesaian
Stigma jadi hukuman kedua bekas banduan, seru masyarakat sebahagian daripada penyelesaian

SHAH ALAM, 12 FEB: Kisah kebangkitan Dr Malik Yatam atau lebih dikenali sebagai Dr Murad, bekas banduan pertama yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman penjara, sering menjadi contoh bahawa peluang kedua mampu mengubah kehidupan seseorang.

Sokongan positif yang diterimanya daripada masyarakat memberi ruang untuk beliau memulakan fasa baharu sebagai ahli akademik dan usahawan.

“Alhamdulillah, bila keluar saya terima sokongan yang sangat positif. Tapi saya tahu ramai prospek lain tidak bernasib baik macam saya,” katanya.

Namun katanya, masih ramai bekas banduan berdepan penolakan sebaik melangkah keluar dari penjara, meskipun telah menjalani hukuman dan melalui proses pemulihan.

Temu bual bersama Dr Malik Yatam atau lebih dikenali Dr Murad ketika rakaman Siapa Tahu? di Media Selangor, Shah Alam pada 30 Januari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Walaupun seseorang itu sudah menjalani hukuman dan melalui proses pemulihan, stigma masyarakat sering menjadi ‘hukuman kedua’ yang lebih sukar dihadapi.

“Kami yang masuk penjara ini sebenarnya sudah menjalani proses pemulihan. Tapi bila keluar, kami masih dihukum oleh stigma masyarakat,” jelasnya dalam program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor.

Menurut beliau, stigma terhadap bekas banduan masih menjadi cabaran besar yang menghalang mereka daripada kembali menyumbang kepada masyarakat.

Ditolak kerja, dipinggirkan masyarakat

Dr Malik menjelaskan, antara cabaran terbesar bekas banduan ialah mendapatkan pekerjaan akibat rekod lampau yang masih membayangi kehidupan mereka.

Keadaan itu, menurut beliau, sering mendorong bekas banduan kembali ke jalan lama kerana terdesak dan tidak melihat pilihan lain.

“Ada yang dah keluar, dah kerja elok-elok, tapi bila majikan tahu dia pernah ada rekod, dia dibuang kerja.

“Bila dia tak diterima masyarakat, tak dapat kerja, akhirnya dia tak tahu nak buat apa. Masa itu, risiko untuk dia kembali buat kesalahan memang sangat tinggi,” ujarnya.

Dr Malik Yatam atau lebih dikenali Dr Murad menandatangani potret lukisan selepas rakaman Siapa Tahu? di Media Selangor, Shah Alam pada 30 Januari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau menegaskan, stigma bukan sahaja menjejaskan individu, tetapi turut memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhan.

Sehubungan itu, Dr Malik menyeru agar masyarakat menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan sekadar pemerhati atau penghukum.

“Bila bekas banduan kembali buat jenayah, masyarakat juga yang akan terkesan. Anak-anak kita, keluarga kita menjadi mangsa.

“Saya selalu kata, kita tak boleh salahkan masyarakat sepenuhnya. Tapi tanpa sokongan masyarakat, bekas banduan ini nak ke mana?” tegasnya.

Bekas banduan ceburi bidang keusahawanan

Sebagai usaha menangani masalah tersebut, Dr Malik mengambil pendekatan berbeza dengan menjadikan keusahawanan sebagai platform pemerkasaan bekas banduan.

Beliau kini mengusahakan projek pertanian cili bara di Batang Kali yang melibatkan bekas prospek sebagai rakan niaga.

“Saya tak panggil mereka sebagai kakitangan tetapi saya panggil mereka rakan niaga,” katanya.

Dr Malik Yatam atau lebih dikenali Dr Murad menerima cenderahati selepas rakaman Siapa Tahu? di Media Selangor, Shah Alam pada 30 Januari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, pendekatan itu diambil berdasarkan kajian dan tesis yang dihasilkan ketika pengajian PhD, yang meneliti masa depan dan kebolehpasaran bekas banduan selepas dibebaskan.

“Tesis saya memang berkaitan dengan prospek. Bila saya keluar, saya tak nak ia sekadar tinggal dalam buku, saya nak laksanakan apa yang saya kaji.

“Kalau setiap tahun 10 orang masuk penjara, dan saya dapat bantu seorang sahaja supaya tak kembali, itu pun sudah satu kejayaan,” katanya.

Selain membantu bekas banduan berdikari, projek itu turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat umum.

“Bila prospek ini ada sumber ekonomi dan jadi usahawan, bukan saja mereka tak kembali buat jenayah, malah mereka pula boleh cipta peluang kerja untuk orang lain,” ujarnya.

Temu bual bersama Dr Malik Yatam atau lebih dikenali Dr Murad ketika rakaman Siapa Tahu? di Media Selangor, Shah Alam pada 30 Januari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR