SHAH ALAM, 24 JULAI: Seramai 822 kakitangan syarikat milik Kerajaan Negeri dan badan berkanun menerima biasiswa Tabung Pendidikan Anak-Anak Syarikat dan Badan Berkanun (TPASBB) sejak diperkenalkan pada 2013.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, 608 penerima berjaya menamatkan pengajian, manakala 214 lagi sedang melanjutkan pengajian dengan tajaan tabung berkenaan.
"Sejak dimulakan pada tahun 2013, TPASBB telah membelanjakan RM 21 juta untuk menaja kakitangan anak syarikat dan Badan Berkanun Negeri Selangor melanjutkan pelajaran hingga ke tahap Ijazah Doktor Falsafah (PhD)
"Saya percaya pelaburan terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan merupakan antara asas terpenting dalam memastikan Selangor terus kekal sebagai negeri peneraju yang berdaya saing, progresif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Amirudin mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pentadbiran TPASBB bagi meneliti hala tuju pembangunan modal insan dalam kalangan warga kerja syarikat milik kerajaan negeri dan badan berkanun.
Menurutnya, mesyuarat itu turut membincangkan usaha memperluaskan program berkemahiran tinggi serta meningkatkan kemahiran warga kerja agar sentiasa relevan dengan keperluan industri yang semakin berkembang.
Selain itu, katanya, jawatankuasa berkenaan meneliti cadangan membuka lebih banyak peluang latihan industri menerusi pengambilan pelatih bagi melahirkan bakat baharu yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negeri.







