SHAH ALAM, 20 SEPT: Sebanyak 41 penjara di seluruh negara kini menempatkan kira-kira 93,000 penghuni berbanding kapasiti keseluruhan sekitar 75,000 orang, menunjukkan keperluan kepada pendekatan baharu dalam pengurusan tahanan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pendekatan yang praktikal, selamat dan terkawal diperlukan bagi mengurangkan tekanan terhadap institusi penjara.
Menurut beliau, antara ikhtiar Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah cadangan mewujudkan Akta Tahanan Rumah yang dibawanya sejak 2024, khususnya melibatkan tahanan reman yang masih menunggu proses perbicaraan.
“Konsep yang kita bincangkan sejak awal adalah jelas — bagi tahanan reman yang memenuhi syarat, mahkamah boleh mempertimbangkan penempatan mereka di rumah dengan pemantauan menggunakan peranti elektronik sehingga tarikh perbicaraan.
“Kes-kes jenayah berat pula memang telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada mekanisme ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saifuddin berkata cadangan Akta Tahanan Rumah itu bukan perkara baharu dan menjelaskan ia adalah untuk tahanan reman yang menurutnya merupakan golongan majoriti memenuhi penjara.
Katanya, Kabinet juga telah memberikan persetujuan secara dasar kepada KDN untuk memulakan proses penggubalan undang-undang berkenaan.
"Matlamat asalnya kekal: mengurangkan kesesakan penjara dan memastikan sistem koreksional negara dapat diurus dengan lebih berkesan.
“Itulah konteks dan maksud asal Akta Tahanan Rumah yang telah kita bincangkan sejak awal,” katanya.






