Pengampunan Sultan Selangor detik paling bermakna buat bekas banduan bergelar PhD

11 Feb 2026, 1:01 AM
Pengampunan Sultan Selangor detik paling bermakna buat bekas banduan bergelar PhD
Pengampunan Sultan Selangor detik paling bermakna buat bekas banduan bergelar PhD
Pengampunan Sultan Selangor detik paling bermakna buat bekas banduan bergelar PhD
Pengampunan Sultan Selangor detik paling bermakna buat bekas banduan bergelar PhD

SHAH ALAM, 11 FEB: Detik menerima pengampunan Sultan Selangor menjadi saat paling bermakna dalam perjalanan hidup bekas banduan pertama yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika dalam penjara, Dr Malik Yatam atau lebih dikenali sebagai Dr Murad.

Selepas lebih dua dekad menjalani hukuman penjara sejak 2001, pengampunan penuh yang diberikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan baginda pada 11 Disember 2024 bukan sekadar kebebasan, sebaliknya membawa amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Bagi Dr Malik yang kini berusia 40 tahun, peluang kedua bukan hadiah untuk diraikan semata-mata, tetapi kepercayaan yang perlu dibalas melalui perubahan sebenar.

Mengimbas detik menerima khabar pengampunan tersebut, beliau mengakui perasaannya bercampur-baur antara syukur, gembira dan sedih.

“Peluang kedua ini satu rahmat, bukan sekadar bebas tetapi satu amanah yang sangat besar dan Allah SWT makbulkan doa saya tepat pada masanya.

Temu bual bersama Dr Malik Yatam atau lebih dikenali Dr Murad ketika rakaman Siapa Tahu? di Media Selangor, Shah Alam pada 30 Januari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Dengan peluang yang diberikan ini, saya akan gunakan sebaik mungkin, itu janji saya kepada Allah SWT dan masyarakat,” katanya dalam program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor.

Namun di sebalik kegembiraan itu, ada rasa sebak meninggalkan penjara, tempat yang membentuk jati dirinya selama bertahun-tahun.

“Saya membesar dalam penjara, lebih lama hidup di dalam berbanding luar. Bukan rindu nak masuk semula, tapi rindu suasana yang berdisiplin dan penjara itulah yang membentuk saya,” ujarnya.

Di sebalik tirai besi, harapan ditemui

Lahir dalam keluarga miskin di Sabah, beliau terpaksa berhenti sekolah pada usia 13 tahun dan hanya sempat menamatkan persekolahan sehingga Tingkatan 1.

Beliau kemudiannya bekerja pelbagai pekerjaan bagi membantu keluarga sebelum ke Semenanjung dengan harapan dapat mengubah nasib.

Namun pada 2001, ketika masih berusia 14 tahun, hidupnya berubah apabila satu detik hitam menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS).

“Bila saya masuk penjara, masa itu saya rasa habislah hidup saya, tarikh bebas pun tiada. Saya rasa saya dah punahkan masa depan sendiri,” katanya.

Dalam tempoh awal pemenjaraan itu, Dr Malik mengakui beliau berada dalam keadaan tertekan dan hilang arah, sebelum menemui sinar baharu apabila memeluk agama Islam pada 2003.

Temu bual bersama Dr Malik Yatam atau lebih dikenali Dr Murad ketika rakaman Siapa Tahu? di Media Selangor, Shah Alam pada 30 Januari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, pengenalan kepada Islam menjadi detik penting yang membangkitkan semula harapan untuk meneruskan hidup dan memperbaiki diri.

Keinginan untuk belajar pula tidak pernah padam apabila beliau melihat rakan banduan lain dibenarkan meneruskan pengajian dalam penjara.

“Bila saya nampak orang lain boleh belajar, saya kata dalam hati, kalau dia boleh, aku pun boleh. Dari situlah keinginan untuk belajar datang balik,” katanya.

Tanpa memiliki sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR), Dr Malik memulakan langkah dengan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara persendirian dalam penjara, sebelum meneruskan pengajian ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Beliau kemudiannya menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda sehingga akhirnya dianugerahkan PhD dalam Pentadbiran Perniagaan sekali gus mencipta sejarah sebagai prospek pertama menggenggam PhD ketika menjalani hukuman.

Belajar tanpa guru, tanpa pen

Proses pembelajaran di dalam penjara bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi kemudahan asas pendidikan hampir tiada.

Dr Malik menceritakan, ketika beliau mula mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), keseluruhan proses pembelajaran perlu dilakukan secara kendiri tanpa tenaga pengajar dan tanpa kelas formal.

Keadaan menjadi lebih mencabar apabila alat tulis seperti pen dan pensil tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.

Katanya, akses kepada Internet juga terhad dan dikawal ketat, memaksa beliau belajar dalam serba kekurangan tanpa rujukan pantas seperti dinikmati pelajar di luar.

“Pensil dan pen tidak dibenarkan sebab dianggap barang larangan. Kami cuma ada buku, itu pun kena minta melalui pihak luar.

Temu bual bersama Dr Malik Yatam atau lebih dikenali Dr Murad ketika rakaman Siapa Tahu? di Media Selangor, Shah Alam pada 30 Januari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Tiada YouTube, tiada rujukan bebas, semua kena tanya pensyarah melalui surat atau masa yang sangat terhad,” ujarnya.

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, Dr Malik mengakui bantuan dan sokongan daripada pegawai penjara menjadi antara faktor utama yang membolehkannya meneruskan pengajian.

“Kalau pihak penjara tak bagi sokongan, sediakan fasiliti dan bantu kami, saya rasa saya tak sampai ke tahap ini.

“Saya janji pada diri, peluang kecil ini saya akan gunakan sebaik mungkin. Saya tak mahu pendidikan ini berhenti pada saya sahaja,” katanya.