Ulama dunia tonggak festival turath, sebar keindahan Islam

11 Sep 2026, 10:00 AM
Ulama dunia tonggak festival turath, sebar keindahan Islam
Ulama dunia tonggak festival turath, sebar keindahan Islam
Ulama dunia tonggak festival turath, sebar keindahan Islam

Ulama dunia tonggak festival turath, sebar keindahan Islam

Puluhan tokoh, ulama dunia menjadi tonggak Festival Turath Islam Selangor (FTIS) sejak 2023.

Majlis yang menghimpun ilmuwan Islam dari seluruh dunia itu menampilkan bekas mufti besar Mesir selain intelektual pelbagai bidang seperti hadis, tafsir, fikah dan tasauf.

Berikut antara ilmuwan yang terlibat sepanjang tiga siri penganjuran FTIS:

ANTARABANGSA

Syeikh Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab (Mesir) – FTIS 2023 dan 2024

Syeikh Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab

Bekas mufti besar Mesir (2003-2013) dan anggota Haiah Kibar Ulama al-Azhar, badan utama menghimpunkan pimpinan ulama utama di institusi pengajian Islam tersebut.

Beliau terkenal sebagai pengarang prolifik dengan karya berkaitan warisan Islam, syariah dan pemikiran Islam. Kepakaran beliau meliputi fiqh, usul fiqh dan pengajian Islam.

Kehadiran beliau ke FTIS bertitik tolak daripada kunjungan rasmi Dato’ Menteri Besar ke kediaman beliau di Kaherah, Mesir pada 7 Oktober 2023.

Kunjungan Dato’ Seri Amirudin Shari bersama delegasi Kerajaan Negeri itu bagi memanjangkan jemputan rasmi ke Selangor.

Syeikh Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri (Maghribi) – FTIS 2025

Syeikh Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri

Ulama terkemuka dari Maghribi itu merupakan timbalan rektor di Universiti Al-Qarawiyyin dan imam besar Masjid Al-Qarawiyyin di Fez.

Beliau juga keturunan kepada pengasas universiti tersebut, Fatima al-Fihri serta mursyid dalam Thariqah Fasiyah.

Beliau mempunyai kepakaran dalam hadis, fiqh, usul fiqh, tafsir dan fatwa. Beliau dianugerah gelaran Doktor Kehormat daripada Universiti Muhammadiyah Jakarta pada 2023

Syeikh Dr Mohammad Akram Nadwi (India/United Kingdom) – FTIS 2025

Syeikh Dr Mohammad Akram Nadwi

Sarjana hadis, fiqh dan sejarah keilmuan Islam yang pernah menjadi felo penyelidik Oxford Centre for Islamic Studies.

Beliau terkenal melalui penyelidikan mengenai ulama hadis wanita yang menghasilkan karya puluhan jilid dan menghimpun biografi sekitar 10,000 ilmuwan wanita Islam

Syeikh Prof Emeritus Dr Abdul Fattah Abdul Ghani al-Awari (Mesir) – FTIS 2025

Syeikh Prof Emeritus Dr Abdul Fattah Abdul Ghani al-Awari

Bekas dekan Fakulti Usuluddin Universiti al-Azhar. Beliau terkenal sebagai ulama yang menekuni kitab tafsir muktabar. Beliau memberi sumbangan besar dalam pendidikan Islam dan pakar dalam bidang qiraat. Karyanya adalah Qimah al-Turath al-Arabi (Nilai Warisan Arab)

Baba Haji Ghazali Ahmad al-Fathani atau Baba Li Sekam (Patani, Thailand) – FTIS 2023, 2024 dan 2025

Baba Haji Ghazali Ahmad al-Fathani atau Baba Li Sekam

Ketua Lajnah Fatwa Majlis Agama Islam Patani Pondok Sekam, Thailand. Beliau mengetuai dan menjadi guru besar di Pondok Maahad al-Islami li Dirasat al-Islamiah.

Terkenal sebagai ulama yang mahir tentang kitab karangan ulama nusantara dan sering dijemput memberi syarahan di Malaysia

Tuan Guru Haji Ismail Sepanjang al-Fathoni (Patani, Thailand)– FTIS 2023

Tuan Guru Haji Ismail Sepanjang al-Fathoni

Dikenali sebagai Baba Ismail, merupakan ulama pondok terkenal dari Pattani, Thailand yang mendalami bidang tauhid, tafsir, hadis dan fiqah.

Beliau mengasaskan Maahad Dar al-Muhajirin dan meneruskan tradisi pengajian kitab secara talaqqi. Beliau juga mempunyai beberapa karya termasuk Mawaqif al-Marjan.

Syeikh Dr Majd Makki al-Halabi (Syria/Qatar) – FTIS 2025

Syeikh Dr Majd Makki al-Halabi

Ulama kelahiran Halab yang berkepakaran dalam tafsir dan hadis hingga dikenali dengan gelaran al-Mufassir al-Musnid. Beliau berguru dengan beberapa ulama besar termasuk Syeikh Abdullah Sirajuddin, Syeikh Yasin al-Fadani dan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

Kiai Haji Dr Abdul Ghofur Maimoen (Indonesia) - FTIS 2025

Kiai Haji Dr Abdul Ghofur Maimoen

Dikenali sebagai Gus Ghofur merupakan ulama tafsir terkenal dan pengasuh Pondok Pesantren al-Anwar yang diasaskan bapanya, Kiyai Haji Maimoen Zubair.

Merupakan antara ulama paling berpengaruh dalam sejarah Islam Indonesia. Beliau graduan doktor falsafah dari Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang tafsir dan antara tokoh Nahdatul Ulama (NU)

Prof Dr KH Said Aqil Siradj (Indonesia) – FTIS 2023

Prof Dr KH Said Aqil Siradj

Ulama berpengaruh Indonesia dan bekas ketua umum pengurus besar Nahdlatul Ulama (PBNU) dari 2010 hingga 2021. Beliau melanjutkan pengajian tinggi di Arab Saudi selama lebih sedekad dan memperoleh ijazah pertama dalam Usuluddin dan Dakwah di Universiti King Abdul Aziz.

Beliau juga memiliki sarjana dalam Perbandingan Agama dan doktor falsafah dalam Akidah/Falsafah Islam di Universiti Umm al-Qura, Makkah

Ustaz Dr Adi Hidayat (Indonesia) - FTIS 2023, 2024 dan 2025

Ustaz Dr Adi Hidayat

Pendakwah dan sarjana ilmu al-Quran dan hadis berasal dari Banten. Giat menyampaikan ceramah di serata dunia. Beliau mengasaskan Quantum Akhyar Institute dan pernah menjadi timbalan ketua Majelis Tabligh Muhammadiyah.

MALAYSIA

Datuk Prof Emeritus Dr Osman Bakar - FTIS 2023, 2024 dan 2025

Datuk Prof Emeritus Dr Osman Bakar

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Penyandang Kursi al- Ghazali dalam bidang Epistemologi dan Kajian dan Pembaharuan Ketamadunan di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di UIAM.

Menghasilkan 43 buku tentang berbagai-bagai aspek pemikiran dan tamadun Islam. Beliau tersenarai dalam 500 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia sejak 2009. Karya paling popular ialah Tauhid dan Sains yang diterjemah ke dalam pelbagai bahasa di dunia.

Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Haji Opir - FTIS 2023, 2024 dan 2025

Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Haji Opir

Memiliki Ijazah Doktor Falsafah dari The World Islamic Sciences and Education University. Beliau menjadi timbalan mufti Selangor bermula Januari 2016 hingga 20 Mei 2021 sebelum dilantik sebagai Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor ke-7 berkuat kuasa 21 Mei 2021.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.