Festival turath hidupkan budaya tadah kitab

10 Sep 2026, 9:00 AM
Festival turath hidupkan budaya tadah kitab
Festival turath hidupkan budaya tadah kitab
Festival turath hidupkan budaya tadah kitab

Hasrat untuk menghidupkan semula budaya mengaji al-Quran secara sistematik membawa kepada penganjuran sulung Festival Turath Islami Selangor (FTIS) pada tiga tahun lalu.

Langkah itu bertujuan supaya pengajian kitab karangan ulama muktabar dibuat secara bertalaqqi atau tadah kitab supaya kefahaman umat Islam benar-benar mengakar dan meluas ke akar umbi.

“Cadangan daripada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, kita buat satu program pembacaan kitab lebih sistematik terutama sekali kita cuba mengajar dan memberi pendedahan dalam tiga aspek utama.

“Kita akan bincang lebih mendalam iaitu dari segi akidah, syariah dan tasawuf,” kata Pengarah FTIS 2026 Ammar Gazali pada 20 Jun 2023.

Beliau kemudian mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pejabat Mufti Selangor bagi menentukan kitab sesuai. Selepas maklum balas dan syor penambahbaikan, kitab Ihya’ Ulumuddin dipilih.

Sebagai prapelancaran FTIS, program talaqqi kitab Ihya’ Ulumuddin tulisan ulama tersohor dunia Imam Al-Ghazali diadakan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor pada 1 Mei.

Tokoh ulama Pattani, Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni memimpin pengajian dengan membaca dan menghurai setiap patah perkataan kitab tersebut. Lebih 300 individu mengikuti pengajian tersebut.

Pada masa sama, Selangor menggerakkan usaha menterjemah 10 jilid Ihya’ Ulumuddin ke bahasa Melayu yang dijalankan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) melalui geran Kerajaan Negeri.

Rancangan terjemahan karya 20 jilid itu dijadual siap sepenuhnya pada 2026. Usaha tersebut penting lantaran karya berkenaan bukan sekadar teks agama sebaliknya menyentuh isu ibadah, akhlak, jiwa manusia dan hubungan manusia dengan Tuhan.

Dalam FTIS antara 20 hingga 25 Mei, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam berubah wajah. Daripada sekadar beribadah, ia menjadi medan ilmu dalam kalangan mahasiswa, guru dan pencinta kitab.

Justeru, Selangor menjadi pentas pertemuan tokoh ilmuan agama dari baik dari nusantara mahupun ulama dari Asia Barat termasuk bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.

Selain itu, bekas Ketua Umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama 2010–2021, Dr KH Said Aqil Siradj; ulama terkenal Pattani, Baba Haji Ghazali Ahmad Al-Fathoni; pensyarah kanan di Monash University Faculty of Law, Australia, Dr Nadirsyah Hosen atau Gus Nadir.

Tokoh tempatan pula antaranya Pemegang Kursi Al-Ghazali Institut Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Islam (ISTAC) UIAM dan Penyandang Kerusi Al-Farabi di Universiti Malaya dari Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari ketika menghadiri Festival Turath Islami 2025 berlangsung dari 12 hingga 20 Julai.

Hilang roh

Syeikh Dr Ali Jum’ah membuka gelanggang ilmu pada 20 Mei dengan membuat kupasan kitab Ihya’ Ulumuddin. Peserta dibawa memahami kembali asas Imam al-Ghazali menulis karya berkenaan.

Menurut beliau, Imam al-Ghazali melihat umat Islam pada zamannya mula kehilangan roh dalam pelaksanaan ibadah. Solat kehilangan khusyuk. Kehidupan juga semakin jauh daripada zuhud.

Niat yang baik dan amal soleh kian terhakis. Agama pula berisiko tinggal pada kulit luaran sedangkan penghayatan dalaman semakin menghilang.

“Perlu ada satu usaha, program untuk bangkitkan semula penghayatan agama dalam bentuk yang sahih. Sebab itu, Imam al-Ghazali karang kitab Ihya’ Ulumuddin.

“Antara matlamatnya ialah untuk mengikat hati umat dengan Allah SWT, bawa perasaan takut pada Allah SWT, zuhud dalam kehidupan dunia,” katanya dalam sesi Daurah Afkar Ihya’ Ulumuddin.

Dalam majlis sama, Amirudin berharap perkongsian ilmu menerusi FTIS menyemarak lagi minat umat islam terhadap pemikiran ilmuwan agung sekali gus mengangkat peradaban Islam.

“Dengan ilmu yang betul dan didikan daripada ulama dan kitab-kitab yang ada tetapi kita tinggalkan sebelum ini, saya percaya kena mengembalikan sinar, kejayaan dan kehebatan Islam.

“Ia bukan ditonjolkan dengan ngauman suara dan deruan kehadiran yang ramai tetapi dengan ilmu pengetahuan yang mampu membawa ketamadunan dan peradaban,” katanya.

Susunan program enam hari itu bukan hanya mengangkat satu bentuk pengajian. Peserta dari dalam dan luar negara turut mengikuti Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin di Hotel Concorde Shah Alam pada 22 Mei.

Pengisian menarik di seminar itu antaranya pembentangan syarahan Ihya’ dan Penawar Krisis Dunia Moden oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang menyifatkan Ihya’ Ulumuddin sebagai merupakan penawar terbaik krisis kerohanian yang dihadapi masyarakat dunia.

“Manusia moden zaman sekarang dahagakan kebahagiaan tetapi tamadunnya miskin dengan kaedah untuk menikmatinya. Kitab ini merupakan sebaik-baik panduan kepada semua kerana ia memenuhi keperluan insan melangkaui zaman,” katanya.

Selain itu, peserta juga mengikuti mendengar pembentangan Prof Dr Kiai Haji Said dalam syarahan bertajuk Ihya’ Imam Al-Ghazali dan Pendidikan Tradisional Asia Tenggara.

Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Dato’ Dr Muhammad Nur Manuty pula membentang syarahan bertajuk Ihya’ dan Budaya Damai, dan diakhiri pembentangan Baba Haji Ghazali Ahmad Fathoni bertajuk Kepentingan Ihya’ dalam Melahirkan Masyarakat Beradab.

Keesokannya pula, hampir 1,000 individu menghadiri Majlis Zikir Darul Ehsan pimpinan Dr Ali Jum’ah bersama penterjemah, Ustaz Ahmad Faiz Al-Fateh di Masjid Negeri pada 23 Mei.

Hampir 1,000 individu hadir ke Majlis Zikir Darul Ehsan yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Majlis itu turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.

Program yang bermula selepas solat Isyak itu berlangsung kira-kira dua jam dengan bacaan zikir mathurat dan ayat suci al-Quran termasuk kesimpulan zikir tersebut. Sebahagian peserta tidak mampu menahan sebak saat mengalunkan ayat suci berkenaan.

Syeikh Dr Ali Jum’ah turut berpesan supaya umat Islam mengamalkan zikir berkenaan setiap hari kerana selain peroleh pahala, ia juga dapat mendekatkan diri dengan Allah dan Rasulullah.

Keesokannya pula, seramai 145 ulama daripada pelbagai institusi pengajian Islam tradisional, ahli akademik dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam program Munaqasyah Ilmiah berbentuk wacana yang menghimpunkan ulama, ilmuan, ahli akademik dan penyelidik, mereka berbincang pelbagai isu keilmuan Islam secara mendalam.

Dalam sesi berkenaan, Dato’ Menteri Besar turut menyentuh satu cabaran yang semakin dekat dengan kehidupan manusia hari ini iaitu budaya konsumerisme.

“Ini akibat perkembangan pesat teknologi masa kini. Menyebabkan krisis nilai yang antara lain menjadikan budaya konsumerisme kian merebak.

“Jadi, saya menyarankan penyebaran dan penyuburan pengajian kitab turath antaranya kitab dalam tradisi Sunni seperti Fathul Bari Imam Ibn Hajar, Tafsir at-Tabari, al-Majmu’ Imam An-Nawawi,” katanya.

Kehadiran peserta dalam program itu melangkaui sasaran awal penyertaan 2,500 peserta. Malah, ada peserta dari luar negara sanggup terbang dari jauh ke Malaysia untuk menyertai edisi sulung FTIS.

Ekoran sambutan menggalakan dari kalangan umat Islam, Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM2 juta bagi mengembangkan program berkenaan dalam Belanjawan Negeri 2024.

Sebuah sekretariat tetap juga ditubuhkan untuk penganjuran pada tahun berikutnya. Malah, perancangan disusun supaya amalan pengajian turath terus lanjutan, bahkan meliputi ke seluruh daerah di negeri ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.