Pengasas Muballighat Selangor dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul 2026

25 Ogos 2026, 5:23 AM
Pengasas Muballighat Selangor dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul 2026
Pengasas Muballighat Selangor dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul 2026
Pengasas Muballighat Selangor dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul 2026
Pengasas Muballighat Selangor dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul 2026
Pengasas Muballighat Selangor dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul 2026

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pengasas Persatuan Muballighat Negeri Selangor (PMNS) Hindon Abdullah dinobatkan Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 2026 hari ini.

Hindon, 84, yang juga pengerusi pertama persatuan itu menerima anugerah berkenaan pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor 1448/2026 di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ibu kepada lima cahaya mata itu melahirkan rasa syukur atas penghargaan diberikan selepas lebih tiga dekad melaksanakan kerja dakwah bersama persatuan berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah saya harap hadiah yang diberi ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk bersama dengan kawan-kawan walaupun telah berada 32 tahun dalam Muballighat.

“Sebenarnya yang panggil saya Dato’ Abu Bakar Abdul Hamid (EXCO Agama Islam ketika itu). Beliau katakan Selangor tidak ada persatuan wanita yang membawa kepada agama Islam, ustazah buat.

Hindon Abdullah bersama anugerah Tokoh Maulidur Rasul yang diterima ketika majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 25 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Saya berdoa kepada Allah SWT supaya beri keupayaan…kemudian selepas sebulan berbincang saya dapat kumpulkan kawan-kawan yang bersara, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Tambahnya, persatuan kini melaksana pelbagai program dakwah untuk sekolah rendah dan menengah, remaja, ibu bapa melalui program keagamaan dan ketika bulan Ramadan.

“Baru-baru ini kita bermesyuarat yang dipimpin seorang doktor dari Universiti Teknologi Mara. Saya harapkan dengan penglibatan golongan profesional yang ada pengalaman boleh menguatkan dan meneruskan kerja dakwah, memang tidak boleh putus,” katanya lagi.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis sambutan tersebut.

Baginda turut berkenan menyampaikan cek cura RM20,000 sijil dan trofi kepada Hindon.

Mengiringi Sultan Selangor, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin, Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir dan EXCO Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah.

Hindon Abdullah bersama keluarga selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 25 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.