Selepas kejayaan Festival Turath Islami Selangor (FTIS) pada 2023, penganjuran sama diteruskan tahun berikutnya dengan mengangkat karya terkenal iaitu Hadis 40 Imam al-Nawawi.
Berbanding acara sulung, festival tahun ini berlangsung lapan hari dan ditambah baik dengan syarahan lengkap Hadis 40, pameran manuskrip Islam di alam Melayu dan majlis selawat.
Dalam FTIS 2024 yang berlangsung antara 26 Mei hingga 2 Jun, kira-kira 20 ulama, tokoh agama dan akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura ditampilkan dalam lebih 30 sesi pengajian.
Dalam edisi kedua, tumpuan terarah kepada kupasan Hadis 40 tulisan Imam al-Nawawi, antara ulama besar Mazhab Syafi’i menjadi rujukan umat Islam. Beliau hidup di Syria pada abad ke-13 dan mengarang kira-kira 50 karya dalam pelbagai bidang termasuk akidah dan fikah.
Sepanjang 45 tahun hayatnya, beliau atau nama asalnya Yahya bin Sharaf menghabiskan masa hampir tiga dekad mengarang lebih kurang 40 halaman setiap hari sejak usia 18 tahun. Paling dikenali ialah Hadis 40, Riyadhu as-Salihin dan syarah Sahih Muslim.
Kupasan Hadis 40 dijalankan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Beliau menghurai hadis itu melalui buku tulisannya yang turut diterjemah berjudul Ilmu Turath: Jalan Memahami Ilmu Islam.
Beliau juga menegaskan pengajian kitab secara tradisional harus diseimbangkan dengan kaedah moden supaya tidak terputus kesinambungan mempelajari ilmu turath secara lebih mendalam.
“Dulu jika belajar kitab ambil masa bertahun-tahun. Pergi rumah ke rumah, belajar hingga faham dengan beberapa guru.
“Jadi belajar kitab secara tradisional bersifat lebih mendalam berbanding sistem moden sekarang yang kurang menekankan kepada pemahaman kitab secara mendalam tetapi lebih kepada penghafalan.
“Bukan bermakna kita menolak kaedah moden tetapi ia perlu diseimbangkan seiring kaedah terkini yang turut merangkumi ujian pentaksiran dan sebagainya,” katanya.
Setiap hari, Dr Ali Jum’ah mensyarahkan hadis selama lima hari dari pagi hingga malam selama lima hari hingga khatam. Sementara menunggu sesi berikutnya, ramai peserta beriktikaf dan bermalam di masjid itu.
Sebahagian besarnya anak muda, termasuk wanita yang membawa anak kecil, duduk bersila sambil menunggu Dr Ali Jum’ah menyampaikan kuliahnya di dewan solat utama.
Dibantu dua anak murid yang menterjemah kata-katanya, beliau turut menghurai biografi perawi hadis dan pengenalan ringkas mereka. Nama periwayat diulas dari sudut bahasa dan penggunaannya dalam masyarakat Arab.
Selain itu, hadis dan cara memahaminya turut dikupas mencakupi pelbagai sudut tatabahasa Arab, akidah, fiqah, usul fiqah, sirah nabi, kaedah mengeluarkan hukum dan cara bermuamalat.
Antara topik menarik ketika menghurai satu hadis berkaitan jihad, Dr Ali Jum’ah meluruskan kefahaman tentang konsep itu yang sering disalah tafsir hingga mencetuskan terorisme.
“(Jadi) bukanlah peperangan itu hendak mengislamkan orang, bukan. Ia bertujuan semata-mata untuk mempertahankan diri. Islam ini agama terakhir, ia (agama ini) perlu mempertahankannya demi kemaslahatan keseluruhan,” hurainya pada sesi pagi 27 Mei.
Ulasan hadis pula disampaikan enam ilmuwan iaitu Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid, Syeikh Nazrul Abd Nasir, Syeikh Hairul Nizam Mat Husin, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, Baba Haji Ghazali Ahmad al-Fathoni dan Dr Umar Muhammad Noor.

Pusat keilmuan
Penganjuran kali kedua itu juga selaras hasrat untuk menjadikan bandar raya Shah Alam dan beberapa bandar lain sebagai pusat keilmuan bagi karya warisan dan pengajian Islam.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mahu menjadikan Selangor sebagai pusat keilmuan agama berasaskan pengetahuan dengan membayangkan Shah Alam memainkan peranan seumpama Baitul Hikmah di Baghdad dan Universiti al-Qarawiyyin di Al-Azhar, Mesir.
“Harapan besar saya untuk melihat Shah Alam dan bandar lain berkembang menjadi pusat keilmuwan karya-karya dan pengajian Islam secara kemas dan tersusun.
“(Ini) termasuk pemahaman tentang agama dan kehidupan dengan asas ilmu yang ditonjolkan dan digambarkan dengan karya lama yang menjadi warisan turun temurun masyarakat,” katanya.
Baitul Hikmah merujuk kepada kegiatan keilmuan termasuk penterjemahan dan penyelidikan pada Zaman Keemasan Islam di Baghdad antara abad ke-8 hingga ke-13 Masihi semasa pemerintahan Kerajaan Abbasiyah.
Dalam ucapannya, Amirudin juga menegaskan peri pentingnya ajaran dan syiar Islam berkembang berdasarkan ilmu dan bukan hanya sekadar ikut-ikutan atau pengaruh daripada mana-mana pihak.
“Kalau ia tidak disandarkan pada ilmu, ia hanya akan mencetuskan kepada perkara-perkara seperti hal yang agak melampau dalam pemahaman dan pelaksanaan,” katanya.
FTIS kali kedua yang berlangsung antara 26 Mei hingga 2 Jun 2024, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sekali lagi tumpuan umat Islam termasuk dari kalangan peserta luar negara.
Kira-kira 2,000 jemaah memenuhi masjid untuk memeriahkan Maulid Syarabut, qasidah dan Tausiyah Perdana pada 31 Mei. Keesokannya, suasana keilmuan bersambung dengan Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin yang disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Usaha Selangor menghidupkan tradisi ilmu melalui penerbitan karya silam dan pengajian pondok mendapat perhatian Anwar yang menegaskan tradisi membaca, menelaah dan menghayati ilmu perlu terus dipertahan.
“Penerbitan karya lama ini perlu dan apa yang diusahakan di Selangor ini menarik dimana dikekalkan satu tradisi ilmu lama seperti pondok dan datang syeikh yang baca dan kupas ilmu.
“Kerana dunia sekarang ini dunia media sosial, dunia tiga minit. Padahal dalam Islam dan tradisi ilmu akhliyah itu mesti membaca, menelaah dan menghayati ilmu,” katanya.
FTIS 2024 juga menampilkan kelainan melalui Pameran al-Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu. Pengunjung berpeluang menyaksikan 22 manuskrip al-Quran dan kitab bertulisan tangan berusia ratusan tahun.
Antaranya manuskrip al-Quran Aceh yang dikaitkan dengan agamawan terkenal Sheikh Nuruddin al-Raniri yang berusia 400 tahun serta manuskrip tulisan Sheikh Daud al-Fatani, ulama besar Patani. Turut dipamer, naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan sekitar 1800 ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah.
Setiap tulisan, warna dan ragam hiasnya membawa kisah bagaimana ilmu Islam berkembang di alam Melayu. Pameran tersebut juga mengingatkan umat Islam mengenai tradisi ilmu di rantau ini bukan sesuatu yang baharu sebaliknya telah lama berakar umbi.
FTIS 2024 melabuhkan tirai dengan Konsert Alunan Mahabbah di Dataran Karnival Stadium Shah Alam.
Ribuan peserta menikmati persembahan Rabbani, Nur Ahli Badar serta kumpulan nasyid dari luar negara.
Dari edisi pertama, festival berkenaan perlahan-lahan berkembang menjadi wadah ilmu yang menggabungkan pengajian kitab, wacana ilmiah, manuskrip, zikir, selawat dan seni Islam.
Malah, ada cadangan supaya FTIS dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025 lantaran program itu mendapat sambutan umat Islam tempatan dan luar negara.








