Selepas mengangkat dua tokoh tersohor dalam dunia Islam melalui dua penganjuran, Festival Turath Islam Selangor (FTIS) 2025 menampilkan dua lagi tokoh penting iaitu Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Imam Jalaluddin al-Suyuti.
Kedua-dua ulama berkenaan menghasilkan kitab Tafsir al-Jalalain yang menjadi rujukan penting dalam pengajian pondok dan pesantren dari zaman dahulu hingga ke saat ini.
Imam Jalaluddin al-Mahalli memulakan penulisan sebelum meninggal dunia pada 1459 dan usaha itu disambung anak muridnya, Imam Jalaluddin al-Suyuti.
Selain kitab tersebut, Imam al-Suyuti juga menghasilkan ratusan karya dalam pelbagai cabang ilmu termasuk tafsir, hadis, fikah dan bahasa Arab.
Dalam FTIS 2025 antara 12 Julai hingga 20 Julai 2025, umat Islam dibawa menghayati khazanah ilmu tafsir dengan memberi tumpuan kepada tiga kitab iaitu Tafsir al-Jalalain, Pengantar Ilmu Tafsir dan Dalail al-Khairat.
Ketiga-tiga kitab itu dipilih lantaran ia terkenal dalam kalangan umat Islam di dunia Melayu. FTIS memilih surah tertentu dalam Tafsir al-Jalalain yang kerap dilazimi umat Islam di Malaysia. Dalam festival itu, ulama tertentu membuat huraian dalam surah berbeza-beza.
Sebenarnya, Pengarah FTIS 2025, Ammar Gazali menjelaskan penganjuran kali ketiga itu juga sebenarnya kesinambungan projek terjemahan buku atau kitab yang diusahakan Kerajaan Selangor selama ini.
“Kita raikan karya-karya besar dalam tamadun Islam. Tidak banyak acara sebegini diadakan dalam konteks Malaysia atau nusantara. Sebenarnya ia kesinambungan kepada projek Kerajaan Selangor iaitu terjemahan buku-buku atau kitab-kitab yang dianggap ‘canon’ (adikarya) dalam dunia Islam,” katanya.
Kebanyakan negeri lain mengadakan festival yang menghimpunkan ulama tempatan tetapi tidak berasaskan kitab sebagai teras program, sekadar penyampaian kuliah atau ceramah. Sebaliknya, FTIS merayakan warisan keilmuan Islam iaitu sistem pengajian tradisional.
Usaha meneruskan penganjuran itu juga atas saranan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mahu melihat pengajian Islam bersandarkan kitab ekoran kebanyakan orang lebih gemar kepada ceramah bersifat ringan tanpa bersandar kepada teks tertentu.
“Saya berpandangan Dato’ Menteri Besar melihat pendidikan Islam dengan lebih makro iaitu karya berusia ratusan tahun perlu digali semula untuk mengukuhkan pemahaman dan menjadi panduan dalam dunia moden,” kata Ammar lagi.
Pada 2025, sebanyak 20 sesi daurah disusun untuk peserta mengikuti pengajian Tafsir al-Jalalain dan Pengantar Ilmu Tafsir, termasuk kupasan tujuh surah pilihan iaitu al-Fatihah, Yasin, al-Waqi’ah, al-Mulk, al-Rahman, al-Hujurat dan al-Kahfi.
Pengajian secara talaqqi sebelum tahun-tahun sebelum ini disertai 18 tokoh tempatan dan antarabangsa termasuk lima ulama utama dari pelbagai latar keilmuan.
Mereka antaranya bekas Dekan Fakulti Usuluddin Universiti al-Azhar, Prof Dr Abdul Fattah Abdul Ghani Al-Awari, pensyarah di Universiti al-Qarawiyyin Dr Idris al-Fasi al-Fihrid, Pengasas Kolej Islam Cambridge, Dr Mohammad Akram an-Nadwi, Ahli jawatankuasa bagi Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Dr Majd Makki dan Pengasas Institut Quantum Akhyar, Dr Adi Hidayat.
Kehadiran ilmuan pelbagai rantau ini menjadikan Masjid Sultan Abdul Aziz Shah seakan-akan sebuah kampus terbuka yang menemukan umat dengan tradisi ilmu dari pelbagai penjuru dunia Islam.
Salah satu kekuatan utama festival berkenaan ialah usaha membawa karya turath lebih dekat kepada masyarakat melalui penerbitan dan penterjemahan.
Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) selaku syarikat yang mendapat geran negeri muncul sebagai penggerak utama. IBDE menterjemah dan menerbitkan karya terpilih supaya khazanah yang selama ini hanya berlegar-legar dalam bahasa Arab dapat dinikmati pembaca di negara ini.
Pengantar Ilmu Tafsir, misalnya, diterjemahkan bagi membantu masyarakat memahami prinsip asas yang menjadi tunjang kepada ilmu tafsir. Pada masa sama, Dalail al-Khairat, himpunan selawat dan doa karya Imam al-Jazuli, turut diberi tempat istimewa.
Kitab itu dibaca pada setiap pagi sebelum pengajian bermula, sekali gus memberikan dimensi kerohanian kepada festival yang sarat dengan perbahasan ilmiah.
Kerajaan Negeri juga mahu amalan membaca selawat dan zikir daripada Dalail al-Khairat kembali membudaya dalam masyarakat. Kitab selawat ke atas Nabi Muhammad SAW itu pernah menjadi amalan umat Islam di Malaysia tetapi semakin lama semakin berkurangan.
FTIS 2025 turut diserikan dengan Pameran al-Wahyu: Funduq yang menyingkap sejarah institusi pondok dan pesanteran di Asia Tenggara. Sebanyak 10 manuskrip kitab turath tulisan tangan berusia lebih 100 tahun dari Pondok Pesanteran Langitan, Subarabaya Indonesia antara bahan pameran.
Pameran di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor sejak 5 Julai itu juga antara tarikan utama pengunjung yang berminat untuk menelusuri akar warisan keilmuan tradisi Nusantara.
Satu lagi inisiatif baharu FTIS tahun ini ialah Festival Buku Islami dan Bazaar Turath di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam yang menampilkan 30 penerbit. Pelbagai buku ilmiah dijual dengan harga Istimewa bagi merangsang minat membaca dalam kalangan generasi muda.
Tidak ketinggalan, Bazaar Turath yang berlangsung sepanjang festival memikat pengunjung dengan pelbagai produk warisan Islam, menjadikannya ruang interaksi budaya yang segar dan berinspirasi.
Selari dengan pendekatan menyeluruh, FTIS turut menyelitkan sesi bacaan kitab Dalail al-Khairat, bual bicara turath dan dua konsert kerohanian, Darul Ehsan Berselawat serta Alunan Mahabbah.
Program tersebut menjadi bukti bagaimana seni dan kerohanian Islam mampu menyatukan masyarakat merentas sempadan kaum dan agama.









