Festival turath berlangsung 13 hingga 20 September, tampil 23 tokoh ulama

28 Jul 2026, 9:22 AM
Festival turath berlangsung 13 hingga 20 September, tampil 23 tokoh ulama
Festival turath berlangsung 13 hingga 20 September, tampil 23 tokoh ulama

SHAH ALAM, 28 JULAI: Festival Turath Islami Selangor (FTIS) kembali bagi edisi keempat bermula 13 hingga 20 September ini sebagai kesinambungan manifestasi Kerajaan Negeri memperkukuh masyarakat berilmu berteraskan warisan intelektual Islam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mengangkat tema Hikmah Warisan Islam, FTIS 2026 mengetengahkan kitab Al-Hikam al-Ata’iyyah karya tokoh besar tasawuf Islam, iaitu Ibnu Atha-illah As-Sakandari.

“Kitab ini menghimpunkan mutiara hikmah mengenai keikhlasan, tawakal dan hubungan seorang hamba dengan Tuhan.

“Ia menjadi antara karya tasawuf paling berpengaruh dalam tradisi keilmuan Islam di seluruh dunia termasuk Alam Melayu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat FTIS 2026 di sini, hari ini.

Amirudin berkata dengan kebanyakan acara berlangsung di masjid negeri serta sekitar Shah Alam, FTIS 2026 akan menampilkan 23 tokoh ulama tempatan dan antarabangsa termasuk bekas mufti besar Mesir Syeikh Dr. Ali Jum’ah.

Turut ditampilkan antaranya ulama terkemuka Maghribi Prof. Dr. Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri; Ustaz Dr. Adi Hidayat (sarjana ilmu al-Quran dan Hadis Indonesi); Ustaz Wadi Annuar serta Mufti Selangor Dato' Setia Dr. Anhar Opir.

“Tokoh ini akan ditampilkan dalam lebih 42 sesi pengajian bersemuka dan disiarkan secara langsung sepanjang lapan hari festival berlangsung.

“Acara lain termasuklah kuliah Subuh, bacaan Dalail al-Khairat, diikuti Talaqqi Kitab Al-Hikam selama lima hari berserta program ilmiah seperti tausiah perdana, majlis qasidah serta Festival Buku Islami yang menjadi tarikan ramai khususnya generasi muda dalam edisi sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, FTIS 2026 menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung yang hadir secara fizikal sepanjang lapan hari penganjuran selain pengunjung yang mendengar secara langsung menerusi dalam talian.

“Saya menjemput warga Selangor dan Malaysia amnya daripada pelbagai latar belakang untuk memeriahkan FTIS 2026 yang bakal berlangsung,” katanya.

Menurutnya prapendaftaran serta maklumat lanjut setiap program FTIS 2026, boleh didapati dengan melayari laman web https://turathislamiselangor.com/.

Edisi sulung FTIS pada 2023 menarik kira-kira 5,000 pengunjung. Tahun kedua penganjurannya menyaksikan lonjakan luar biasa dengan kehadiran hampir 30,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Festival itu bukan sekadar wacana atau forum ilmiah, tetapi medan menadah kitab secara talaqqi. Ia satu bentuk pengajian bersanad yang jarang diperoleh di luar institusi pondok.

Peserta berpeluang duduk berhadapan dengan ulama besar dan belajar ayat demi ayat, kalimah demi kalimah seperti zaman silam.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.