Selangor Hackathon 2026 hasil penyelesaian AI isu negeri

10 Sep 2026, 1:29 AM
Selangor Hackathon 2026 hasil penyelesaian AI isu negeri
Selangor Hackathon 2026 hasil penyelesaian AI isu negeri
Selangor Hackathon 2026 hasil penyelesaian AI isu negeri

SHAH ALAM, 10 SEPT: Peserta Selangor Hackathon 2026 berjaya menghasilkan pelbagai penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani isu sebenar yang berlaku di negeri ini.

Antara penyelesaian dibangunkan termasuk papan pemuka berpusat bagi menangani isu pokok tumbang dan jalan berlubang, sistem City Closure serta peta tiga dimensi bagi mengesan kawasan tumpuan tapak pelupusan sampah haram.

Johan pertandingan, wakil kumpulan NTT MSC Sdn Bhd, Yong Ee Lyn berkata beliau tidak menyangka pasukannya berjaya meraih kemenangan dan bersyukur hasil kerjasama semua anggota membuahkan kejayaan.

Dari kiri, Nik Nur Nabila Nik Zunaidi, Deepanraj Vellingiri dan, Yong Ee Lyn memenangi tempat pertama dalam Majlis Penutup Hekaton dan Forum AI Selangor 2026 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 9 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Cabaran yang diberikan kepada peserta sengit kerana kami perlu menghasilkan penyelesaian yang mampu menangani isu sebenar antaranya, masalah pokok tumbang dan jalan berlubang yang berlaku di kawasan sekitar.

“Kami membangunkan satu papan pemuka untuk Kerajaan Negeri yang boleh dipaparkan kepada masyarakat, di samping menyediakan sistem berpusat yang membolehkan orang awam terlibat dalam program kesukarelawanan dan menerima ganjaran tunai,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Naib Johan, wakil kumpulan OJH Consulting Sdn Bhd, Ong Juen Hong berkata pihaknya berbangga berpeluang membangunkan sistem yang boleh dimanfaatkan Kerajaan Negeri dalam menangani isu berkaitan jalan dan lampu jalan rosak.

“Pertandingan seperti Selangor Hackathon 2026 turut membuka ruang kepada syarikat swasta untuk menyumbang kepakaran serta elemen AI dalam pembangunan sistem Kerajaan Negeri sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Pengarah dan Rakan Kongsi OJH Consulting Sdn Bhd Ong Juen Hong (kanan) dan Kay Nouvell Sidik memenangi tempat kedua dalam Majlis Penutup Hekaton dan Forum AI Selangor 2026 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 9 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kami berharap aplikasi yang dibangunkan dapat diperluas ke seluruh Malaysia seterusnya diketengahkan ke peringkat global sebagai salah satu penyelesaian bandar pintar yang inovatif dan berkesan,” ujarnya.

Tempat Ketiga, wakil kumpulan ALPHV Technologies Sdn Bhd, Nurqistina Damia Shahrine pula berkata pasukannya membangunkan dashboard serta peta tiga dimensi berdasarkan set data berkaitan tapak pelupusan sampah haram yang diberikan sepanjang pertandingan.

“Peserta perlu menggunakan kreativiti untuk menghasilkan penyelesaian dalam tempoh ditetapkan manakala kerjasama pasukan turut menjadi antara faktor penting untuk menghasilkan penyelesaian terbaik.

“Pertandingan ini menjadi platform yang baik untuk mencungkil bakat tempatan dan memberi peluang kepada syarikat baharu mengetengahkan penyelesaian berasaskan teknologi yang inovatif bagi menangani isu semasa,” tambahnya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ALPHV Technologies Sdn Bhd Daren Tan (tengah) dan Nurqistina Damia Shahrine (kiri) memenangi tempat ketiga dalam Majlis Penutup Hekaton dan Forum AI Selangor 2026 di Hotel Concorde, Shah Alam pada 9 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Program Selangor Hackathon 2026 pada 21 Ogos lalu merupakan penganjuran sulung Kerajaan Negeri bersama Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) bagi mengenal pasti tenaga mahir dalam penyelesaian masalah berasaskan AI.

Peserta diberikan cabaran berdasarkan isu sebenar yang berlaku di Selangor termasuk kerosakan lampu jalan, pengurusan sisa dan bencana bagi menghasilkan penyelesaian inovatif berasaskan teknologi.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.