SHAH ALAM, 22 OKT: Kerajaan merancang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pengimbas bagasi dan badan bagi memperkukuh kawalan keselamatan di semua pintu masuk antarabangsa negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang untuk memodenkan aset dan infrastruktur keselamatan secara berfasa.
“Ini merangkumi naik taraf secara berfasa bagi sistem pengimbas bagasi dan pengimbas badan (body scanner) kepada teknologi pengimbasan generasi baharu yang lebih canggih, dilengkapi integrasi analitik AI serta keupayaan pengesanan anomali bahan terlarang,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Jakarta pada Julai lalu kerana membawa dadah yang dipercayai melalui KLIA.

Saifuddin menjelaskan pengimbas bagasi sedia ada di lapangan terbang seluruh negara memfokuskan pengesanan bahan letupan, senjata dan objek logam berbahaya mengikut piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Sistem pengimbas bagasi tersebut tidak dilengkapi dengan teknologi untuk mengesan barang kontraban seperti dadah namun bergantung kepada kepakaran, kepekaan visual, dan profil risiko yang dianalisis oleh screening officer yang bertugas,” katanya.
"Bagi mengelakkan penyalahgunaan laluan khas petugas penerbangan, kerajaan memperketat saringan permohonan dan pembaharuan pas keselamatan lapangan terbang menerusi sistem e-Vetting, selain menguatkuasakan pusingan kerja berkala terhadap petugas di zon terhad," katanya.
Beliau turut memaklumkan Jemaah Menteri pada 19 Ogos lalu meluluskan Memorandum Bersama Menteri antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan yang bersetuju dengan 17 syor substantif bagi menambah baik keselamatan pintu masuk negara.
"Pelan tindakan ini berfokuskan tiga teras keselamatan utama iaitu Keselamatan Penerbangan, Keselamatan Negara dan Sempadan, serta Keselamatan Fizikal dan Perlindungan yang dilaksanakan secara berfasa meliputi syor Jangka Pendek (0–6 bulan), Jangka Sederhana (6–24 bulan) dan Jangka Panjang (lebih 24 bulan)," katanya.






