Anak warga asing wajib daftar kelahiran, tetapi bukan automatik warganegara

Anak warga asing wajib daftar kelahiran, tetapi bukan automatik warganegara
Anak warga asing wajib daftar kelahiran, tetapi bukan automatik warganegara

SHAH ALAM, 12 SEPT: Pendaftaran kelahiran dan penentuan taraf kewarganegaraan ialah dua perkara berbeza, justeru kanak-kanak warga asing yang dilahirkan di negara ini bukan secara automatik menjadi rakyat Malaysia.

Penolong Pengarah Siasatan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Zalipah Ramli berkata setiap kelahiran perlu didaftarkan tanpa mengira bangsa, keturunan atau taraf kewarganegaraan ibu bapa.

Jelas beliau, perkara sama terpakai kepada kanak-kanak warga asing termasuk Rohingya yang dilahirkan di Malaysia.

“Bagi kes Rohingya atau mana-mana kanak-kanak bukan warganegara Malaysia, selagi mereka dilahirkan di Malaysia, pemaklum atau ibu bapa perlu mendaftarkan kelahiran di JPN.

“Cuma sijil kelahiran yang dikeluarkan JPN adalah bertaraf bukan warganegara mengikut taraf kewarganegaraan ibu bapa,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Penolong Pengarah Siasatan Bahagian Penguatkuasaan JPN Putrajaya, Zalipah Ramli ketika menjadi tetamu program Bicara Semasa terbitan Media Selangor di Studio Utama Media Selangor, Shah Alam pada 3 September 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Zalipah berkata taraf kewarganegaraan seseorang kanak-kanak pula bergantung kepada status kewarganegaraan ibu bapa serta status perkahwinan mereka pada masa kelahiran.

“Jika ibu atau bapa warganegara Malaysia dan perkahwinan mereka teratur, anak berkenaan mempunyai tuntutan sebagai warganegara Malaysia tertakluk kepada peruntukan yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara cabaran JPN dalam memproses permohonan kewarganegaraan, khususnya membabitkan kanak-kanak adalah memastikan dokumen yang dikemukakan tulen dan maklumat di dalamnya sahih.

Katanya, JPN juga perlu menentukan pemilik sebenar dokumen tersebut bagi mengelakkan kewarganegaraan diberikan kepada individu yang bukan pemilik sebenar.

“Sebagai contoh, bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia perlu mengemukakan sijil kelahiran.

“Jadi, kita perlu memastikan sijil kelahiran yang dikemukakan itu benar-benar milik kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Zalipah berkata kelahiran di Malaysia perlu didaftarkan dalam tempoh ditetapkan bagi memastikan rekod kelahiran setiap individu dapat diwujudkan dengan tepat.

Katanya, bagi Semenanjung Malaysia, kelahiran perlu dilaporkan kepada JPN dalam tempoh 60 hari dari tarikh kelahiran.

“Sekiranya melebihi tempoh 60 hari, ia dikategorikan sebagai pendaftaran lewat kelahiran. Apabila ibu, bapa atau pemaklum melaporkan kelahiran selepas tempoh ditetapkan, proses yang perlu dilalui lebih rumit.

“JPN perlu mengesahkan dokumen yang dikemukakan termasuk surat pengesahan kelahiran sekiranya kelahiran berlaku di fasiliti kesihatan serta dokumen perkahwinan ibu bapa. JPN juga akan menjalankan temu duga terhadap ibu bapa atau pemaklum,” katanya.

Sehubungan itu, Zalipah menasihatkan ibu bapa tidak melengahkan pendaftaran kelahiran anak dan berurusan terus dengan JPN tanpa menggunakan khidmat ejen atau orang tengah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.