SHAH ALAM, 10 SEPT: Kerajaan Negeri memanfaatkan bakat muda dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi membantu menghasilkan penyelesaian terhadap isu dan aduan yang dihadapi pihak berkuasa tempatan (PBT).
EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata program Selangor AI Heckhaton dan Selangor AI Forum 2026 menjadi platform mendapatkan tenaga mahir yang mampu membantu Kerajaan Negeri dalam penyelesaian masalah serta analitik berasaskan AI.
“Ini tahun pertama pertandingan AI anjuran Kerajaan Selangor dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) bersama syarikat swasta, dengan sambutan memberangsangkan sebanyak 88 penyertaan.
“Para peserta diberikan cabaran berdasarkan aduan sebenar yang diterima oleh PBT dan mereka hanya mempunyai tempoh tiga jam untuk menghasilkan penyelesaian bagi masalah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penutup Hekaton dan Forum AI Selangor 2026 di Hotel Concorde, di sini, semalam.
Mohammad Fahmi menambah, penyertaan yang majoritinya terdiri daripada golongan muda membuktikan Selangor mempunyai bakat tempatan yang mampu menguasai teknologi AI.
Katanya, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama PBT bagi mengenal pasti penggunaan elemen AI untuk menganalisis isu seperti banjir, tapak pelupusan sampah haram dan jalan berlubang.
Mohammad Fahmi berkata data yang diperoleh daripada analisis itu juga boleh diterjemahkan kepada maklumat yang lebih mudah difahami dan dikongsikan secara terbuka kepada masyarakat khususnya rakyat Selangor.
Program Selangor Hackathon 2026 yang berlangsung pada 21 Ogos lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan 88 penyertaan menerusi cabaran berdasarkan isu sebenar di Selangor termasuk kerosakan lampu jalan, pengurusan sisa dan bencana.
Manakala program Selangor AI Forum 2026 yang dianjurkan pada 9 September lalu menghimpunkan kira-kira 180 peserta terdiri daripada eksekutif korporat, pemain industri dan penjawat awam Selangor bagi membincangkan perkembangan, peluang serta keperluan penerapan AI secara lebih meluas.







