SHAH ALAM, 9 SEPT: Selangor menyasarkan kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) mencapai sekurang-kurangnya penarafan Bandar Pintar Tahap 1 menjelang akhir tahun ini.
EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata ketika ini hanya dua PBT belum memperoleh penarafan berkenaan, manakala 10 yang lain sudah mencapai Tahap 1 dan Tahap 2.
"Secara rasmi, hanya dua daripada 12 PBT di Selangor yang belum mempunyai penarafan Tahap 1. Yang lain berada pada Tahap 1 dan ada yang sudah mencapai Tahap 2.
"Permohonan bagi kedua-dua PBT ini sudah dibuat dan insya-Allah pada Oktober akan ada pengumuman. Mungkin kita akan dapat kesemua PBT Selangor berada di Tahap 1 ataupun lebih tinggi," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum AI Selangor yang menghimpunkan kira-kira 180 peserta di sini, hari ini.
Mohammad Fahmi berkata Kerajaan Negeri turut menyasarkan PBT yang kini berada pada Tahap 2 untuk ditingkatkan ke Tahap 3 daripada keseluruhan empat tahap penarafan Bandar Pintar.
Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan Selangor berada pada landasan tepat dalam memperkukuh pelaksanaan agenda bandar pintar di seluruh negeri.

"Kita juga ada yang berada pada Tahap 2 dan mahu dinaikkan ke Tahap 3. Ini menunjukkan kita berada di landasan yang betul untuk membentuk bandar pintar di Selangor," ujarnya.
Menurutnya, agenda bandar pintar negeri akan diperkukuh menerusi penerapan kecerdasan buatan (AI), khususnya bagi meningkatkan keupayaan analisis data serta mempercepat sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Beliau berkata keberkesanan penggunaan AI perlu diterjemahkan kepada impak yang boleh diukur, termasuk pengurangan tempoh masa rakyat berurusan dengan kerajaan.
"Tempoh masa perkhidmatan antara kerajaan dengan rakyat harus dan wajib kita kurangkan. Kita akan tetapkan satu garis asas (baseline) dan kemudian melihat pengurangan tempoh tersebut menerusi penggunaan AI.
"Penganalisisan data merupakan satu cabaran dan jurang yang besar, tetapi dengan adanya AI, kita dapat merapatkan jurang tersebut," tambahnya.

Mohammad Fahmi berkata AI juga berupaya membantu menangani kekangan mendapatkan tenaga pakar seperti saintis data yang memerlukan kos tinggi dan sukar diperoleh.
Mengenai pembangunan pusat data, beliau menjelaskan Kerajaan Negeri tidak bercadang membangunkan kemudahan itu sendiri memandangkan penglibatan sektor swasta ketika ini dilihat mencukupi untuk memenuhi keperluan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya sebarang pembangunan pusat data perlu mengambil kira kecukupan bekalan air dan elektrik tanpa menjejaskan keperluan rakyat.
"Kita tidak akan gadaikan kedua-duanya untuk kegunaan rakyat hanya semata-mata kerana adanya pusat data.
"Jika melibatkan keperluan penyimpanan data dan infrastruktur digital untuk mengupayakan AI bagi kegunaan Kerajaan Negeri, memang ada keperluan, tetapi tidak bermakna kita perlu membina pusat data baharu untuk kegunaan sendiri," katanya.
Forum AI Selangor yang julung kali dianjurkan di peringkat negeri menjadi platform menghimpunkan sektor swasta, ahli akademik dan anak syarikat Kerajaan Negeri bagi berkongsi perkembangan terkini teknologi AI di Malaysia serta peringkat global.









