SHAH ALAM, 9 SEPT: Kecerdasan buatan (AI) berpotensi merapatkan jurang analisis data kerajaan sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata teknologi itu mampu membantu menangani kekangan dalam penganalisisan data, termasuk kebergantungan kepada tenaga pakar yang sukar diperoleh dan memerlukan kos tinggi.
"Penganalisisan data merupakan satu cabaran dan jurang yang besar, tetapi dengan adanya AI, kita dapat merapatkan jurang tersebut.
"Tenaga pakar seperti saintis data pula mahal dan sangat sukar untuk kita dapatkan, tetapi dengan adanya sistem AI, perkara tersebut dapat kita tangani," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum AI Selangor yang julung kali dianjurkan di peringkat negeri dengan kehadiran kira-kira 180 peserta di Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) di sini, hari ini.

Mohammad Fahmi berkata penerapan AI dalam pentadbiran kerajaan perlu diterjemahkan kepada manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dengan memendekkan tempoh penyampaian perkhidmatan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan menetapkan garis asas (baseline) bagi tempoh sesuatu perkhidmatan sebelum mengukur pengurangan masa selepas teknologi AI diterapkan.
"Penggunaan AI akhirnya harus kembali kepada memberikan manfaat kepada rakyat. Dari segi perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, tempoh masa itu harus dan wajib kita kurangkan.
"Kita akan tetapkan satu baseline dan kemudian melihat pengurangan daripada baseline tersebut menerusi penggunaan AI," ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata Forum AI Selangor menjadi platform menghimpunkan sektor kerajaan, industri dan akademia bagi berkongsi perkembangan terkini serta penerapan teknologi berkenaan.

"Forum ini kita adakan untuk memberikan kesedaran mengenai perkembangan terkini penggunaan AI di Selangor.
"Ia juga menjadi platform perbincangan yang membawa bersama syarikat swasta, pakar akademik dan anak syarikat Kerajaan Negeri untuk melihat perkembangan terkini penggunaan AI di Malaysia serta dunia untuk dikongsi bersama," katanya.
Sementara itu, pemenang Selangor AI Hackathon 2026 yang berlangsung minggu lalu akan diraikan dalam satu majlis makan malam malam ini.
Penganjuran Selangor AI Hackathon 2026 dan Forum AI Selangor 2026 merupakan antara usaha Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem AI dengan menghubungkan penyelesaian teknologi kepada cabaran sebenar, keutamaan kerajaan, inovasi industri serta pembangunan tenaga kerja.





