SHAH ALAM, 11 SEPT: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) akan melancarkan baki 15 jilid terjemahan kitab Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali dalam Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026.
Ketua Pengarah Eksekutifnya Mohd Farhan Nor Affandi berkata ia dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus melengkapkan semua 20 jilid dalam bahasa Melayu.
Beliau berkata perdana menteri melancarkan lima jilid kitab itu yang siap diterjemah dalam Festival Turath Islami Selangor (FTIS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2024.

"Tahun keempat (tahun ini) beliau akan lancar keseluruhan 15 jilid baki, menjadikan keseluruhan 20 jilid,” katanya kepada Media Selangor.
Karya penting ulama tersohor Imam Al-Ghazali merangkumi empat rubu’ (bab) diterjemah hasil pembiayaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam projek Siri Warisan Islami Selangor.
Jilid pertama hingga kelima kitab itu memperihal ilmu, asas akidah, kitab hikmah bersuci dan sembahyang, hikmah zakat, puasa dan haji serta adab membaca al-Quran, zikir dan wirid harian.
Projek terjemahan itu dijalankan secara berperingkat sejak tahun pertama penganjuran FTIS. Pada tahun ini, FTIS bukan lagi program negeri sebaliknya diadakan pada peringkat kebangsaan.
Menurut Mohd Farhan, FTIM juga memperkenal Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan yang menghimpun sekitar 200 ulama dari seluruh negara bagi membincangkan pelbagai isu termasuk cabaran ummah.
“Muzakarah ini program tertutup yang menghimpunkan kira-kira 200 ulama seluruh Malaysia berbincang pelbagai hal termasuk melibatkan tasawuf yang mungkin boleh berguna untuk ataupun menjadi panduan untuk mendepani kemelut dunia hari ini, anak-anak muda kita,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata muzakarah itu wadah penting kepada kerjasama dalam kalangan cendekiawan Islam selain mencari penyelesaian terhadap cabaran umat Islam masa kini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia turut menjadi ruang memperkasa peranan pendakwah dan asatizah, kumpulan ustaz dan ustazah dalam mendidik masyarakat dalam berdepan cabaran semasa.







