IBDE nafi buku Mao Zedong promosi ideologi komunisme

22 Apr 2026, 3:41 AM
IBDE nafi buku Mao Zedong promosi ideologi komunisme

SHAH ALAM, 22 APRIL: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menegaskan buku Mao Zedong: China dalam Dunia Abad ke-20 terbitannya bukan bertujuan mempromosikan ideologi komunisme, sebaliknya memperluas akses terhadap sejarah dan pemikiran dalam bahasa Melayu.

Ketua pengarah eksekutifnya, Mohd Farhan Nor Affandi berkata, buku terjemahan karya sarjana sejarah Rebecca E.Karl itu selaras dengan amalan ilmiah yang diterima di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, keadaan dunia masa kini yang semakin terbuka dan saling berhubung tanpa sempadan menuntut pendekatan memperkukuh wacana ilmu serta penyediaan bahan bacaan berkualiti.

“Ini dapat membina masyarakat berpengetahuan dan berdaya tahan terhadap sebarang pengaruh luar. Kami percaya bahawa kematangan intelektual sesebuah masyarakat terletak pada keupayaan memahami pelbagai perspektif dan ideologi secara kritikal.

“Karya ini ditulis dalam kerangka akademik dan bertujuan untuk memberikan analisis sejarah seimbang mengenai tokoh Mao Zedong serta peranannya dalam membentuk China moden dan dinamika dunia abad ke-20.

“Memahami sesuatu tidak bermaksud menyokongnya, malah ia merupakan asas penting dalam membina daya fikir yang matang dan berinformasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, IBDE akan terus memperkenalkan karya penting dunia kepada masyarakat bagi memperkaya budaya ilmu serta memperkukuh keupayaan berfikir secara kritikal dan seimbang.

Buku Mao Zedong diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor melalui geran Kerajaan Negeri.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku berkenaan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, yang memberi Menteri Dalam Negeri “budi bicara mutlak” untuk melarang sebarang penerbitan yang dianggap tidak diingini.

Larangan itu berkuat kuasa sejak tarikh warta pada 13 Februari.

Minggu lalu, kementerian turut mengeluarkan notis kepada penerbit Gerakbudaya berhubung pengharaman dua penerbitan lain yang berkait kisah perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM), termasuk memoir tokoh PKM Shamsiah Fakeh serta buku Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah yang diterbitkan pada 2022.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.