SHAH ALAM, 11 SEPT: Pameran Busana Tradisional Muslim Nusantara antara tarikan utama Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) antara 13 hingga 20 September di Masjid Putra, Putrajaya.
Pengarahnya Mohd Farhan Nor Affandi menjelaskan pameran berkenaan akan menampilkan koleksi eksklusif pakaian, tekstil dan seni hiasan busana tradisional muslim dari pelbagai wilayah.
“Ia bukan sahaja membolehkan pengunjung menghayati keindahan busana, malah menelusuri cerita, nilai dan pemikiran yang membentuk cara berpakaian masyarakat muslim di rantau ini.

“Pelbagai pakaian tradisi, pakaian yang berevolusi daripada zaman dulu sampai ke zaman kita. Pakaian muslim atau muslimah daripada nusantara. Ia ada dalam bentuk visual dan fizikal,” katanya kepada Media Selangor.
Selain itu, beliau berkata Festival Buku Islami 2026 diteruskan dengan menghimpun penerbit dan pengedar buku tempatan manakala pemilihan karya disusun berlandas tema dan disiplin ilmu.
“Ia adalah pesta buku terkelola yang membolehkan penerbit dan buku yang dibawa masuk dipilih mengikut tema festival, sekali gus memberi tumpuan kepada bahan bacaan yang lebih terarah.
“Maksudnya kita pilih penerbit-penerbit yang datang untuk sertai pesta buku ini mengikut tema yang kita pilih. Maka buku-buku pun ke arah pembinaan akhlak, jiwa dan jati diri,” katanya.
Mohd Farhan juga menjelaskan pihaknya memperkenal perkhidmatan panduan buku bagi membantu pengunjung memilih naskhah bersesuaian mengikut minat dan tahap pemahaman pembaca.

Beliau memberitahu pengunjung boleh mendapatkan panduan mengenai buku sesuai untuk dibaca berdasarkan bidang yang ingin diterokai dan tahap pengetahuan melalui perkhidmatan itu.
Katanya, konsep tersebut antara kelainan festival buku bagi membimbing pengunjung memperoleh bahan bacaan lebih tersusun, khususnya mereka yang tidak pasti naskhah sesuai untuk bermula.
Festival itu turut menampilkan Pasar Buku, Rakan Buku, sesi syarahan, bengkel, aktiviti kanak-kanak, tayangan video dan ruang bacaan untuk memberi pengalaman lebih menyeluruh.







