3,500 naskhah Al-Hikam terjual sepanjang Festival Turath Islami, cetak stok tambahan

17 Sep 2026, 5:00 AM
3,500 naskhah Al-Hikam terjual sepanjang Festival Turath Islami, cetak stok tambahan
3,500 naskhah Al-Hikam terjual sepanjang Festival Turath Islami, cetak stok tambahan
3,500 naskhah Al-Hikam terjual sepanjang Festival Turath Islami, cetak stok tambahan

PUTRAJAYA, 17 SEPT: Sebanyak 3,500 naskhah Kitab Al-Hikam terjual setakat semalam sepanjang penganjuran Festival Turath Islami Malaysia (FTIM), sekali gus mencerminkan sambutan tinggi masyarakat terhadap karya turath.

Pengurus Kanan Jabatan Jualan dan Pembangunan Perniagaan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Ainunl Muaiyanah berkata sambutan terhadap kitab berkenaan begitu menggalakkan sehingga pihak penganjur hampir kehabisan stok dan terpaksa membuat cetakan tambahan bagi memenuhi permintaan pengunjung.

"Jumlah buku Hikam yang telah terjual sehingga 16 September 2026 sebanyak 3,500 naskhah. Ini satu jumlah besar.

"Kami berkampung dari sesudah Subuh, 7.30 pagi sampai 12.30 tengah malam dan masih tidak putus-putus orang membeli buku pengajian Hikam yang dijadikan kitab pengajian Festival Turath Islami Malaysia kali ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Festival Buku Islami yang merupakan antara pengisian FTIM 2026 di Masjid Putra, di sini semalam.

Menurut Ainunl, sambutan itu turut menunjukkan karya yang dianggap berat dan sukar sebenarnya masih mempunyai tarikan apabila kandungannya dihuraikan serta dibincangkan secara lebih dekat bersama masyarakat.

"Buku yang sifatnya berat dan dikategorikan sukar sebenarnya ramai sekali orang ingin membaca, terutamanya apabila dibahaskan, dibincangkan dan disyarahkan oleh alim ulama serta tok guru.

"Ini menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai minat yang tinggi terhadap ilmu dan stigma rakyat Malaysia tidak membaca atau tidak cenderung kepada bahan ilmiah merupakan satu stigma yang salah," ujarnya.

Beliau berkata Al-Hikam terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dipilih sebagai kitab pengajian utama FTIM tahun ini yang turut mengetengahkan ekosistem ilmu merangkumi buku, guru dan pembaca.

Ainunl berharap penganjuran FTIM serta Festival Buku Islami dapat diteruskan setiap tahun dengan mengetengahkan lebih banyak tema dan karya turath pada masa akan datang.

FTIM 2026 bertemakan Hikmah Warisan Islam berlangsung dari 13 hingga 20 September dengan 42 acara selepas lokasi penganjurannya dipindahkan dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ke Masjid Putra, Putrajaya.

Festival berkenaan menampilkan 23 tokoh tempatan dan antarabangsa termasuk bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah serta ulama Maghribi Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.

Program berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial sepanjang penganjurannya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.